Kajian keberkesanan disinfeksi perlu dilakukan

Operasi sanitasi oleh DBKL dan Alam Flora hari ini di kawasan Sri Petaling.
Operasi sanitasi oleh DBKL dan Alam Flora hari ini di kawasan Sri Petaling.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kajian keberkesanan kerja disinfeksi dan sanitasi sekitar Wilayah Persekutuan perlu dilakukan bagi memastikan operasi itu benar-benar menghapuskan virus koronavirus (Covid-19).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah meningkatkan kerja pembersihan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Keselamatan Negara (MKN) yang meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakannya.

Menurutnya, ia sebagai langkah ke hadapan bagi memastikan kawasan terdedah seperti di tempat tumpuan awam dan permukaan jalan raya bebas penularan Covid-19.

"Usaha ini perlu digerakkan secara besar-besaran namun kita perlu melihat kemampuan aset dan keberkesanan peralatan untuk kerja-kerja nyah kuman itu.

"Ujian keberkesanan perlu dilakukan selepas itu. Kita juga ingin mengetahui pembersihan itu mematikan virus dan kawasan itu bebas virus atau sebaliknya," katanya selepas meninjau proses sanitasi di Sri Petaling oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora hari ini.

Proses semburan nyah kuman melibatkan sejauh 3.45 kilometer (km) dan 1.64 km diuruskan oleh Alam Flora.

Jalan terlibat ialah Jalan Radin, Jalan Radin Anum, Jalan Radin Tengah, Jalan Radin Anum 1 dan 2 serta Jalan Radin Bagus 1, 2 dan 3.

Artikel Berkaitan:

Petugas DBKL menjalankan kerja sanitasi di Sri Petaling hari ini.
Petugas DBKL menjalankan kerja sanitasi di Sri Petaling hari ini.

Annuar berkata, sebanyak RM20 juta diperuntukkan oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pelaksanaan operasi serta-merta pembersihan Covid-19.

"Pembersihan ini mengikut indikasi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). Wilayah Persekutuan mencatatkan kes tertinggi di dua lokasi iaitu Lembah Pantai dan Titiwangsa.

"Lembah Pantai termasuk Seputeh dirujuk berdasarkan kawasan perkhidmatan KKM sementara Titiwangsa meliputi Parlimen Setiawangsa dan Wangsa Maju. Kawasannya luas jadi kita kecilkan skop sanitasi untuk keberkesanan," katanya.

Katanya, Covid-19 adalah pengalaman penting dengan banyak perkara dipelajari dalam menangani krisis kesihatan global.

"Secara umum teknologi kita terkebelakang, kita kena tengok kaedah dan teknologi yang digunakan seperti di Wuhan dan beberapa negara lain.

"Hari ini langkah sanitasi dilakukan secara manual. Jika dilakukan di seluruh bandar akan mengambil masa beberapa hari sedangkan pembersihan ini perlu dibuat secara berulang.

"Kerja disinfeksi hari ini diharap membuka ruang bagi penambahbaikan prosedur operasi standard pada masa akan datang," katanya.