Peniaga tak pedulikan amaran

Anggota Penguatkuasa BKKM menyita produk yang didapati membuat tuntutan kesihatan tanpa kebenaran.
Anggota Penguatkuasa BKKM menyita produk yang didapati membuat tuntutan kesihatan tanpa kebenaran.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Walaupun beberapa siri serbuan telah dilakukan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengenai iklan dan tuntutan kesihatan yang melampau pada produk makanan tambahan sebelum ini namun masih ramai peniaga yang tidak mempedulikan dan masih menjual produk berkenaan di pasaran.

Terbaru, dalam operasi yang dijalankan jam 10.30 pagi semalam, pihak BKKM merampas lebih 48 produk bernilai RM1,648 di sebuah premis yang terletak dalam pusat membeli-belah di Jalan Baru, di sini.

Bukan sahaja mendapati terdapat tuntutan yang melampau kononnya produk terbabit mampu merawat dan menyembuhkan penyakit malah premis itu juga dikesan menjual teh kurus yang telah pun luput tarikh penggunaannya.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan, Mohd Wazir Khalid berkata, pihaknya juga menemui beberapa produk yang menyembunyikan iklan khasiat palsu makanan kesihatan di dalam kotak produk.

Menurutnya, perbuatan itu dibuat bagi mengelak kesalahan itu dikesan oleh penguatkuasa sehingga menyebabkan produk mereka dirampas.

"Kita dapati pihak pengeluar kini pandai, mereka tahu sekiranya ia diletakkan di luar kotak, pihak berkuasa boleh mengesannya dan bertindak meletakkan iklan itu di dalam kotak.

"Hanya pengguna yang membeli minuman kesihatan itu akan dapat membaca iklan yang mendakwa produk itu dapat menyembuhkan penyakit kronik," katanya.

Selain produk itu, pihaknya juga merampas kesemua produk yang didapati membuat tuntutan perubatan tanpa pengesahan pada label.

Artikel Berkaitan:

Dalam operasi berkenaan, BKKM juga mengeluarkan notis kompaun RM6,000 kepada pemilik premis berkenaan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 18E Peraturan-peraturan Makanan 1985.