MAINS sediakan peruntukkan khas Covid-19

Datuk Mohamed pada sidang media hari ini.
Datuk Mohamed pada sidang media hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan (PBMains) memperuntukkan dana sebanyak RM4.3 juta sebagai inisiatif khas menangani koronavirus (Covid-19)

Pengerusi MAINS, Datuk Mohamed Husein berkata, inisiatif itu bertujuan meringankan beban dan kesulitan kepada pihak yang terlibat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, bantuan memberi fokus kepada mereka yang dikuarantin di rumah, bantuan segera asnaf fakir miskin, petugas hadapan, masjid dan semua surau di negeri ini serta mereka yang terjejas dalam tempoh PKP.

"MAINS sentiasa peka dan prihatin mengenai situasi yang sedang kita lalui sejak hari pertama pelaksanaan PKP khususnya asnaf dan masyarakat yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19.

Mohammed semasa menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima Baitulmal di Menara Mains di sini hari ini.
Mohammed semasa menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima Baitulmal di Menara Mains di sini hari ini.

"Bantuan ini disalurkan melalui kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah termasuk pasukan barisan hadapan seperti polis, tentera, petugas hospital dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)

"Sebanyak 4,594 penerima Baitulmal akan menerima inisiatif khas ini secara automatik dengan pembayaran awal bantuan yang dikreditkan ke akaun terus penerima," katanya pada sidang akhbar di Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan di sini hari ini.

Tambahnya, semua masjid dan surau di negeri ini akan dibantu melalui bantuan tahunan yang diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan menerusi tabung amanah JHEAINS.

Artikel Berkaitan:

Kata Mohammed, bantuan segera turut diberikan kepada individu dan keluarga yang terjejas akibat PKP ini, khususnya golongan B40, peniaga, penjaja yang hilang punca pendapatan dan golongan yang kehilangan kerja.

"Bantuan disalurkan melalui empat mekanisme iaitu menggunakan baucer makanan keperluan asas di kedai panel, tunai, pengkreditan ke akaun pemohon dan pemberian pek makanan asas.

"Mereka perlu memohon kepada Perbadanan Baitulmal atau melalui whatsApp Skuad Belo Asnaf di talian 019-6235051 bagi memudahkan keluarga atau individu bergerak sepanjang tempoh PKP," katanya.

Katanya, sehingga kini pihaknya telah menerima 3,000 permohonan bantuan, dan bantuan akan disalurkan dalam kadar segera.

Orang ramai yang memohon bantuan diminta bersabar, semua permohonan yang dibuat akan disantuni secara keseluruhannya.