X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Hati-hati dengan taktik penipuan sepanjang PKP

A
A

SHAH ALAM - Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sebanyak 393 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penipuan atau scammer penjualan palsu melibatkan topeng muka dalam talian sehingga 25 Mac lalu.

Katanya, begitu juga dengan insentif diumumkan kerajaan bagi meringankan beban rakyat ketika berdepan Perintah Kawalan Pergerakan seperti pengeluaran akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di mana terdapat pihak mengambil kesempatan di media sosial supaya pemilik memberikan butiran peribadi.

"Saya harap orang ramai berhati-hati dengan scammer ini. Jika ia melibatkan KWSP, hubungi mereka dan ikuti prosedur pengeluaran yang telah ditetapkan," katanya pada sidang media (non-health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Katanya, penyebaran berita palsu turut menjadi isu yang perlu ditangani oleh kerajaan buat masa sekarang kerana sehingga semalam, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 114 kes.

"Bila saya umumkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), ramai yang buat penyebaran berita palsu kononnya kerajaan akan melaksanakan perintah berkurung dengan semua kedai, pasar dan pasar raya akan ditutup.

"Saya nak perjelaskan, berita berkaitan perintah berkurung atau darurat ini tidak betul," katanya.

Beliau memberitahu, pengumuman mengenai sebarang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan sudah tentu akan dibuat selepas meneliti tindakan dan kesan kepada rakyat.

"Saya beri jaminan ia bukan perintah berkurung. Jangan terpengaruh sehingga berlaku pembelian panik. Mungkin kita akan ada had jangka masa dari segi operasi pasar raya kerana saya difahamkan ada yang tutup jam 12 tengah malam.

"Kita akan selaraskan tetapi pasar dan pasar raya akan dibuka seperti biasa untuk rakyat dapatkan bekalan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!