Pakej rangsangan Prihatin beri kelegaan kepada rakyat: Jamil Khir

Orang awam mengikuti siaran langsung pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat. -Foto Bernama
Orang awam mengikuti siaran langsung pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat. -Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam disifatkan benar-benar memberikan kelegaan buat semua lapisan rakyat Malaysia.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pengumuman berkenaan sememangnya dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau berkata, pengumuman tersebut amat menyentuh setiap isi rumah kerana serangan Covid-19 menyebabkan ramai kehilangan sumber kewangan dan punca pendapatan secara tiba-tiba.

"Pengumuman Perdana Menteri itu sememangnya memberi nafas kelegaan untuk semua lapisan masyarakat

"Melalui pengumuman itu, bayaran untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) kini dikembalikan dengan jumlah yang melegakan iaitu RM1,600 bagi golongan B40 yang berpendapatan RM4,000 ke bawah dan yang berpendapatan RM4,000 ke atas juga tidak dilupakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamil Khir berkata, golongan bujang dan pelajar turut menerima bantuan berkaitan yang dikembalikan kepada mereka sepertimana zaman Barisan Nasional sebelum ini.

Katanya, golongan petani, penoreh, nelayan, pekebun serta tidak ketinggalan nelayan yang bertarung di lautan samudera mengharung ombak dan badai menyediakan protien buat setiap rakyat juga dibantu.

Menurutnya, kelonggaran pembayaran pinjaman bank moratorium, bantuan buat golongan peniaga serta peniaga peniaga kecil turut diumumkan yang dilihat mampu meringankan beban rakyat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tidak ketinggalan, kerajaan juga mengumumkan pakej bantuan kepada pengusaha pelancongan dan perhotelan, pesara, pemandu teksi dan e-hailing demi membantu mereka.

"Buat mereka bergelar hero rakyat, pejuang di barisan hadapan diberi imbuhan khas walaupun semuanya sedar pengorbanan itu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit kerana mempertaruhkan nyawa sendiri demi kesejahteraan nyawa rakyat Malaysia.

"Anggaplah ini rasa terima kasih kami semua buat kalian," katanya.