MPJ cadang bentuk jawatankuasa khas

Mohd Ridhwan Othman
Mohd Ridhwan Othman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Muafakat Pendidikan Johor mencadangkan satu pembentukan jawatankuasa khas oleh Kementerian Pendidikan bagi mengukur keseriusan salahlaku dan disiplin pelajar.

Presidennya, Mohd Ridhwan Othman berkata, kajian terperinci bagi pembentukan jawatankuasa itu perlu dilakukan kerana isu salahlaku di kalangan pelajar termasuklah merokok, dilihat kian meruncing.

Menurutnya, kebanyakan pelajar mula terjebak dengan ketagihan tabiat merokok akibat pengaruh rakan sebaya dan kurang pengawasan daripada ibu bapa selain kuasa guru di sekolah yang terhad .

"Kajian terperinci serta pembentukkan jawatankuasa khas perlu dibuat oleh Kementerian Pendidikan bagi membolehkan pihak berkuasa mengukur keseriusan salahlaku pelajar.

"Ini (salahlaku) seperti penglibatan mereka dalam ketagihan rokok, penyalahgunaan dadah, jenayah, gangsterisme, buli dan isu-isu sosial lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Ridhwan berkata, meskipun semakin jelas kelihatan peningkatan salah laku pelajar merokok di negara ini, tetapi masih tiada data lengkap mengenai perkara itu.

"Kita sering membaca mengenai salahlaku pelajar, tetapi kita tidak mengetahui secara terperinci betapa seriusnya masalah tersebut dan implikasinya terhadap masa depan pelajar.

"Dalam hal ini, warga pendidik juga diharap tidak menyembunyikan masalah ini demi melindungi nama baik sekolah. Jika sebaliknya, sampai bila perkara seperti ini akan terus berlaku?," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, isu berkaitan pelajar merokok di luar sekolah telah lama wujud, namun salah laku tersebut dilihat semakin meningkat.

"Kita boleh membuat kesimpulan bahawa pelajar-pelajar merokok pada masa ini tidak mempunyai contoh yang baik dalam kalangan mereka di sekeliling.

"Mereka akan cenderung mencontohi tingkah laku agresif termasuk yang dipertontonkan selain meniru apa yang mereka lihat di media sosial," katanya.

Mohd Ridhwan berkata, segelintir ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya juga antara sebab golongan tersebut mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya untuk melakukan perkara-perkara negatif.

Katanya, tambahan pula, pada masa kini, kuasa warga pendidik untuk menegur dan mendidik kian terhad dan terbatas kerana kelak akan mendapat tindak balas daripada ibu bapa

"Jika nasib kurang baik, maka guru-guru akan dibawa ke muka pengadilan kerana membetulkan displin anak-anak mereka," katanya.

Oleh itu, beliau berkata, jawatankuasa khas itu perlu diwujudkan dan dianggotai pakar dalam bidang berkaitan demi menghasilkan penyelesaian jangka panjang.

"Untuk membolehkan kita memahami sepenuhnya masalah dan punca-punca tersebut, kajian menyeluruh perlu dibuat.

"Hasil kajian itu nanti boleh digunakan jawatankuasa khas berkenaan untuk mencadangkan tindakan sesuai bagi membantu melindungi kepentingan pelajar dan menambahnilai sistem pendidikan negara," katanya.