MyCARE turun padang sampaikan bantuan

Mohd Kamal Fitri (dua dari kanan) bersama penerima bantuan.
Mohd Kamal Fitri (dua dari kanan) bersama penerima bantuan.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dengan kerjasama Masjid Nurul Amin, Merbau Sempak turun padang bagi menyampaikan bantuan makanan kepada hampir 70 keluarga di sini, semalam.

Pengerusi MyCARE Shah Alam, Mohd Kamal Fitri Mohd Ghazali berkata, sumbangan bernilai RM5,000 itu diagihkan kepada golongan asnaf dan penduduk yang memerlukan.

"Sumbangan berupa makanan asas seperti beras, telur dan sebagainya diagihkan kepada 70 keluarga di dua kampung iaitu Kampung Merbau Sempak serta Kampung Paya Jaras yang terputus bekalan makanan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran ancaman wabak Covid-19.

"Selain Masjid Nurul Amin, program bantuan ini turut dijayakan dengan penglibatan ketua-ketua kampung dan Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Zon 23," katanya.

Menurutnya, MyCARE selaku badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa terpanggil untuk turun padang bagi membantu mereka yang memerlukan apatah lagi dalam situasi kepayahan ini.

Mohd Kamal Fitri berkata, selain penduduk kedua-dua kampung tersebut, MyCARE juga mengedarkan bantuan di beberapa tempat sekitar Selangor sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lepas.

Katanya, sebelum ini MyCARE menyampaikan bantuan sama kepada penduduk sekitar Padang Jawa, Shah Alam dan turut mengenal pasti beberapa lokasi lain untuk dibantu.

"Kami mengharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang benar-benar memerlukan. Di samping itu, MyCARE juga mengalu-alukan sumbangan berbentuk wang tunai bagi digunakan membeli makanan asas ini.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat boleh diperolehi dengan melayari laman web MyCARE. Sumbangan orang ramai sangat bermakna untuk golongan ini," katanya.