Bank Rakyat catat keuntungan bersih RM1.15 bilion

Bank Rakyat
Bank Rakyat
A
A
A

KUMPULAN Bank Rakyat merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM1.15 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir Disember 2019 dan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.79 bilion, di tengah-tengah tahun yang mencabar.

Meskipun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, prestasi yang baik ini dapat dicapai melalui pendapatan bersih yang lebih tinggi sebanyak 3.26 peratus berikutan pertumbuhan pendapatan operasi teras dan kos dana yang lebih rendah sebanyak 1.62 peratus hasil daripada penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada separuh kedua 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rosman Mohamed berkata, prestasi mampan ini juga dapat dicapai menerusi asas yang kukuh dan fokus dalam aktiviti teras kumpulan serta inisiatif berterusan untuk meningkatkan baki Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA).

Beliau berkata, jumlah aset kumpulan meningkat sebanyak 2.6 peratus kepada RM109.62 bilion dengan peningkatan pengeluaran pembiayaan dan pendahuluan sebanyak 2.8 peratus kepada RM70.97 bilion.

Pulangan Atas Aset (ROA) pada tahun ini kekal kukuh pada 1.7 peratus dan melebihi ROA industri perbankan domestik iaitu pada 1.6 peratus.

Pada 2019, baki pembiayaan kasar berkembang kepada RM72.42 bilion, meskipun persaingan sengit yang memberi manfaat kepada pembelbagaian portfolio terutamanya daripada pembiayaan rumah, kereta dan perniagaan.

Pembiayaan Bank Rakyat meningkat 12.3 peratus kepada RM6.65 bilion berbanding RM5.92 bilion sebelumnya manakala pembiayaan kereta naik 11.2 peratus kepada RM3.08 bilion.

Selain itu, pembiayaan perniagaan terutamanya segmen koperasi meningkat sembilan peratus kepada RM2.42 bilion daripada RM2.22 bilion sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai sebahagian daripada pempelbagaian dalam portfolio lain, baki pembiayaan peribadi berjumlah RM55.53 bilion, meningkat sederhana sebanyak 1.2 peratus atau RM0.65 bilion, sejajar dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk mengurangkan keseluruhan pergantungan kepada pembiayaan peribadi,” katanya.

Rosman berkata, deposit kumpulan berjumlah RM83.83 bilion pada 2019 daripada RM82.74 bilion sebelumnya manakala baki CASA meningkat sedikit sebanyak 15.1 peratus kepada RM6.60 bilion bagi tahun itu.

“Bank Rakyat akan terus memberi tumpuan kepada penstrukturan dalaman, terutamanya bagi memanfaatkan potensi yang boleh diterokai dalam perniagaan dan operasi untuk mewujudkan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham.

“Seterusnya, Bank Rakyat akan melaksanakan enam rangka tindakan iaitu Digitalisasi, Pengalaman Terbaik Pelanggan, Modal Insan, Pusat Penciptaan Nilai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Kelestarian dan Kepemimpinan Syariah yang akan menjadi kunci utama dalam merealisasikan aspirasi BR25 (Bank Rakyat 2025),” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Bank Rakyat umum dividen 14 peratus