Lima lelaki ditahan leka memancing ikan

Tiga daripada lima individu yang ditahan ketika sedang leka memancing di atas bot di lokasi. - Foto ihsan IPD Kemaman Gambar kecil: Hanyan
Tiga daripada lima individu yang ditahan ketika sedang leka memancing di atas bot di lokasi. - Foto ihsan IPD Kemaman Gambar kecil: Hanyan
A
A
A

KEMAMAN - Lima lelaki ditahan polis ketika sedang leka memancing ikan di tepi sungai ladang sawit Jalan Pasir Minal, Kampung Pasir Minal, Binjai malam tadi dalam satu rondaan Op Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kesemua mereka berusia antara 30 hingga 39 tahun ditahan kira-kira jam 11.50 malam oleh pasukan penguat kuasa Covid-19 Kemaman.

"Semasa anggota tiba di lokasi, didapati kelima-lima individu itu sedang leka memancing di atas sebuah bot tetapi cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak polis.

"Ketika soal siasat mereka memberi alasan sama iaitu berada di lokasi untuk memancing ikan walaupun tahu tempoh PKP sedang berjalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanyan berkata, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Chukai dan salah seorang daripada mereka yang berusia 34 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

Kesemua mereka ditahan mengikut Peraturan 7 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan: