Kerajaan bertindak tegas, tapi masih berhemah: Takiyuddin

Takiyuddin (kiri) semasa menyampaikan bantuan kepada penduduk di kawasan Kota Bharu.
Takiyuddin (kiri) semasa menyampaikan bantuan kepada penduduk di kawasan Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan akan bertindak tegas melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dihentikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, bagaimanapun pelaksanaan tetap di lakukan dengan penuh hemah supaya rakyat dapat mengikut arahan dengan baik.

“Maksud tegas ialah tiada toleransi dengan mereka yang sengaja melanggar peraturan ini. Berhemah itu maksudnya rakyat masih lagi diberikan kelonggaran yang wajar dengan membenarkan mereka keluar membeli makanan dan keperluan.

"Syaratnya, hanya seorang sahaja dibenarkan pergi satu-satu masa. Kita harap rakyat faham kedudukan sekarang. Kerajaan melaksanakan tanggungjawab ini untuk mengelak musibah berlaku lebih teruk,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, beliau ditemui semasa menyampaikan sumbangan kepada 300 penduduk Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga memberitahu, tempoh PKP kini sudah masuk hari ke-11 dan kerajaan amat berharap rakyat faham dan tindakan yang akan diambil selepas ini bukan lagi sekadar nasihat atau amaran.

“Saya rasa kalau keadaan mendesak, kita tidak akan mengeluarkan amaran lagi selepas ini. Perkara ini bukan benda baru. Semua sudah tahu. Kalau sebelum wabak ini, mungkin orang tidak tahu.

“Tapi bila sudah dihebahkan kepada umum dan contoh-contoh (kes) telah ada, sampai didenda dan sebagainya, walau dia mampu bayar, itu akan menjadi satu peringatan dan pengajaran kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Kita rasa tiada keperluan untuk main bola dan sebagainya waktu ini, tidak perlu. Kita pun dukacita apabila diberitahu ada yang melanggar arahan dan ada cubaan melaksanakan solat Jumaat.

"Bayangkan, kalau solat Jumaat 100 orang, apa jaminan kita untuk mengatakan dalam 100 orang itu tidak akan berjangkit," katanya.

Takiyuddin memberitahu beliau belum berpuas hati kerana kesedaran masih rendah dan menasihati masyarakat supaya berhati-hati.