200 penduduk kampung tradisi dapat bekalan makanan

Penduduk di Kampung Permatang Pauh, Pekan mendapat bantuan keperluan harian daripada pelbagai pihak.
Penduduk di Kampung Permatang Pauh, Pekan mendapat bantuan keperluan harian daripada pelbagai pihak.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 200 penduduk di Kampung Permatang Pauh, Pekan menerima bantuan keperluan harian daripada pelbagai pihak bagi meringankan beban berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara keperluan berkenaan ialah beras, minyak masak, tepung, susu, sardin dan biskut yang bernilai RM50.

Ketua Kampungnya, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud berkata, bekalan makanan itu diperoleh selepas mendapatkan bantuan daripada pihak kerajaan, syarikat swasta dan individu selepas melancarkan tabung bantuan Covid-19.

"Setiap ketua keluarga tanpa mengira taraf hidup layak menerima bantuan dan agihan dilakukan ke setiap rumah oleh jawatankuasa yang dilantik. Sebagai ketua kampung saya bertanggungjawab membantu penduduk yang kini berhadapan kesusahan," katanya.

Majlis Penyerahan Bantuan disempurnakan Ketua Penolong Pegawai Daerah Pekan (Pembangunan) Nursafariza Ihsan di Balai Raya Kampung Permatang Pauh hari ini.

Bagi mewakili penduduk kampung itu, Mohd Nasrul mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang prihatin dengan kesusahan mereka.

Katanya, selepas ini pihaknya akan berusaha mendapatkan bantuan untuk golongan asnaf, warga emas, ibu tunggal dan pesakit kronik yang akan disumbangkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Sementara itu, warga emas Fatimah Mohd Taib, 80, berkata, bantuan yang diterima dapat meringankan beban penduduk kampung sepanjang PKP.

Artikel Berkaitan:

"Siapa yang degil akan dikenakan tindakan undang-undang. Jadi kita perlu berada di rumah.

"Sokongan pelbagai pihak dapat membantu golongan memerlukan terutama dalam keadaan sekarang," katanya.