Satu tan ikan untuk penduduk PPR Kuala Terengganu

Ikan dimasukkan ke dalam plastik sebelum diagihkan. - Foto Ahmad Amzad Hashim
Ikan dimasukkan ke dalam plastik sebelum diagihkan. - Foto Ahmad Amzad Hashim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim hari ini mengambil inisiatif menyediakan satu tan ikan kepada golongan miskin di Kuala Terengganu.

Beliau turut berkongsi kisah sedih di Facebooknya mengenai beberapa penduduk di bandar itu yang terpaksa makan nasi bersama air kerana masalah kewangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut menceritakan beliau dimaklumkan ada penduduk di kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mencatu makanan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Beliau kemudiannya berjaya mendapatkan lori yang membawa ikan cencaru dan penjualnya sanggup menjual dengan harga murah bagi menghabiskan stok yang ada.

"Tadi semasa saya menghitung dan meninjau pergerakan bekalan makanan yang mahu diagihkan kepada rakyat, pegawai saya Haji Zul Wahab memaklumkan ramai yang susah, ada beras tapi makan berlaukkan air, telur pun tiada.

"Saya tanya di mana mereka, diberitahu ramai di penempatan PPR. Pegawai saya, Syed Ali Al-Idrus pun beritahu ramai yang mengadu tak merasa makan ikan.

"Saya tak tahu tapi air mata saya menitik," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Ahmad Amzad berkata, beliau kemudian membeli kira-kira satu tan ikan dan diagihkan di lima penempatan PPR Parlimen Kuala Terengganu iaitu di KP Perdana, PPR Chendering, Kondo Rakyat, PPR Hiliran dan PPR Ladang.

Artikel Berkaitan:

"Semoga ramai yang beroleh manfaat walau memang tak cukup untuk semua," jelasnya.