Tiada kes baharu Chikungunya dilaporkan di Kedah

Chikungunya
Chikungunya
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada kes baharu Chikungunya yang dilaporkan di seluruh Kedah sehingga hari ini, kata Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail.

Beliau berkata, sebanyak 190 kes Chikungunya telah dicatatkan di Kedah pada tahun 2017 dan hanya lima kes pada tahun 2018 dan kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 12 Ogos 2018.

"Jabatan Kesihatan negeri sedia maklum mengenai situasi wabak Chikungunya di Hat Yai, Thailand dan telah mengambil langkah pencegahan dan kawalan di beberapa Pintu Masuk Antarabangsa Sempadan Malaysia-Thailand termasuk di Bukit Kayu Hitam, Pulau Langkawi dan Kota Putra Durian Burung.

"Kita sentiasa menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan vektor secara berkala seperti pemeriksaan pembiakan nyamuk aedes dan kajian 'ovitrap' serta aktiviti pemusnahan tempat pembiakan aedes, semburan ruang dan 'larviciding'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Norhizan berkata saringan demam ke atas pelawat turut dijalankan dan bagi pelawat yang mempunyai suhu badan yang tinggi, mereka akan diperiksa dan dirujuk ke klinik berhampiran bagi pemeriksaan selanjutnya.

"Bagi Disember 2018, seramai 125,908 pelawat telah disaring dan tiada pelawat yang dikesan demam. Jabatan Kesihatan negeri juga akan terus meningkatkan aktiviti pemantauan penyakit Chikungunya bersama Thailand kerana mempunyai hubungan baik dengan Pejabat Kesihatan Wilayah Songkhla melalui Jawatankuasa ‘Border Health Goodwill Subcommittee’.

"Sekiranya ada individu yang mengalami tanda Chikungunya seperti demam, ruam di bahagian kaki, tangan dan badan, sakit badan dan sakit sendi mereka dinasihatkan untuk membuat ujian rapid serologi bagi tujuan pengesahan penyakit Chikungunya. Ujian itu boleh dibuat di beberapa buah hospital di negeri Kedah," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: