X

Kindly register in order to view this article
!

'ALLAH sahaja balas kebaikan tuan berdua'

Paparan Facebook Polis Johor tular di laman sosial sejak semalam.
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita di taman permainan di Taman Tampoi Indah Johor Bahru yang tiba-tiba menangis ketika didekati dua anggota polis yang bertugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merungkai kisah sedih sebuah keluarga.

Menerusi akaun Facebook Polis Johor, anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Koperal Mohd Hisham Mustafa dan Konstabel Mudrikah Nazirul Nordin, pada awalnya menasihati dan meminta wanita itu bersama suami dan anak mereka berusia setahun pulang ke rumah.

Namun secara tiba-tiba wanita berkenaan menangis dan memaklumkan tiada wang serta bekalan makanan di rumahnya.

Lebih memilukan, wanita itu memberitahu, anak kecilnya hanya minum botol susu berisi milo dicampur gula.

Atas keprihatinan, anggota polis telah membawa mereka ke sebuah kedai untuk membeli keperluan barangan dapur.

"Anggota polis membawa keluarga itu ke kedai runcit dan memberikan bantuan kepada pasangan terbabit.

“Pasangan keluarga ini tinggal di Taman Tampoi Indah dengan menyewa bilik, suaminya berhenti kerja sambilan di Singapura kerana tiada permit kerja. Isteri pula seorang tukang cuci di kawasan Larkin dan kini telah 'dicutikan'," katanya.

Kenyataan menerusi status Facebook itu juga berharap semoga pasangan tersebut dapat dibantu.

Sehingga kini perkongsian meruntun jiwa itu memperoleh lebih 47,000 tanda suka, 7,100 komen dan 11,000 perkongsian daripada netizen.

Netizen dikenali sebagai Hatimim mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota polis berkenaan kerana memiliki hati murni membantu masyarakat dalam kesusahan.

"Saya sangat terharu dengan anggota polis trafik ini, hanya ALLAH yang mampu membalas kebaikan tuan berdua memang terbaik sekali." katanya.

Kata Haikal Ahmad pula: "Terbaik semoga koperal ni mendapat pujian dari ALLAH rezeki berlipat ganda. Amin."

"Tahniah anggota polis, telah lakukan terbaik dan dicontohi orang ramai," kata Haslinda.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus