Produk pembasmi kuman ruqyah tiada kelulusan KKM

Produk yang tidak mendapat kelulusan KKM.
Produk yang tidak mendapat kelulusan KKM.
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membeli produk pembasmi kuman yang diruqyahkan kerana tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM menerusi satu kenyataan di Facebooknya berkata, semua produk pembasmi kuman perlu dirujuk kepada kementerian itu sebelum dipasarkan bagi memastikan kualiti dan selamat digunakan.

"Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak dan berhati-hati semasa membeli produk hand sanitizer di pasaran.

"Semakan status produk boleh dibuat di laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di pautan www.npra.gov.my," katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan, penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Katanya, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

"Iklan produk dengan tuntutan perubatan tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat merupakan satu perlanggaran di bawah Seksyen 4B, Akta Ubat (Iklan & Penjualan 1956).

"Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan: