X

Kindly register in order to view this article
!

Pakej Prihatin menyeluruh, manfaat untuk semua: Pakar ekonomi

Orang ramai semakin perihatin untuk bersama-sama membendung penularan Covid-19 dengan memakai penutup mulut dan hidung serta menjarak diri ketika berbelanja di sebuah pasar raya di Taman Suria semalam. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kalangan pakar ekonomi menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan semalam dan menyifatkannya sebagai menyeluruh serta mencakupi semua golongan yang memerlukan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peruntukan berjumlah RM250 bilion yang turut merangkumi jumlah pakej sebelumnya, juga menjadikan pakej rangsangan fiskal kerajaan sebanyak 17 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Ini satu angka yang besar berbanding 10 peratus untuk pakej rangsangan pada 2009. Apa yang kami lihat adalah pengagihan tunai kepada golongan 40 peratus isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan 40 peratus isi rumah berpendapatan pertengahan (M40), subsidi gaji serta langkah menyokong perniagaan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Malah, ini turut membabitkan sumbangan oleh agensi kerajaan lainnya termasuk Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Ringkasnya, pakej ini adalah besar dan komprehensif,” katanya.

Pandangan beliau turut dikongsi oleh Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor yang menyifatkannya sebagai realistik dan merangkumi banyak objektif lain termasuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi.

"Pakej rangsangan Prihatin itu akan menambah 2.0-3.0 peratus kepada pertumbuhan KDNK," katanya.

Menurutnya, angka RM250 bilion itu menjadikan jumlah peruntukan Prihatin hampir menyamai peruntukan perbelanjaan Belanjawan 2020 sebanyak RM297 bilion.

“Berbanding pakej rangsangan Amerika Syarikat yang mencecah AS$2 trilion dan 10 peratus daripada KDNK negara itu sebanyak AS$20 trilion, pakej kita sebaliknya lebih realistik dalam situasi semasa. Ini memandangkan ini bukan masa untuk terlalu memikirkan sama ada kita berdepan belanjawan defisit atau sebaliknya...saya yakin kita mempunyai sumber dalaman mencukupi bagi melaksanakan pakej ini,” katanya.

Menurut Shazali, pakej itu turut berteraskan matlamat membantu rakyat yang memerlukan dan pada akhirnya mampu memacu pertumbuhan negara.

“Pakej Prihatin ini pastinya dapat menggembirakan rakyat kerana ia sebegitu komprehensif. Anda turut menerima habuannya tanpa mengira siapa anda.

“Malah, ada di antara penerima manfaat itu mendapat lebih daripada pendapatan mereka, khususnya kalangan pekerja biasa,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, adalah diharapkan menerusi pakej tersebut, dana yang diagihkan itu dapat dibelanjakan dalam negara dan merancakkan ekonomi sama ada bagi tujuan kegunaan makanan mahu pun perubatan.

Shazali juga menyifatkan pakej Prihatin itu sebagai menarik kerana memberi kesan segera menerusi pemberian bantuan tunau khususnya kepada barisan petugas hadapan, pesara dan penjawat awam selain majikan yang mungkin berhasrat menamatkan khidmat pekerja mereka.

Pakej itu turut memacu ekonomi dan menjana pendapatan boleh guna rakyat dan dapat meningkatkan penggunaan domestik berbanding luaran.

Menyentuh impak di pihak kerajaan, beliau berkata, kerajaan tidak akan berdepan isu kehabisan dana kerana (pelabur) institusi lebih berminat membeli Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berbanding pelaburan di pasaran saham.

“MGS memberi jaminan pulangan lebih baik berbanding pasaran saham dan lainnya. Saya tidak melihat kerajaan memilih untuk membuat pinjaman asing kerana institusi domestik misalnya mempunyai pendapatan stabil bagi dividen masa depan.

“Pada masa ini, anda tidak berapa peduli jika terpaksa mengalami defisit sebaliknya memberi tumpuan untuk melindungi rakyat yang bagi saya sememangnya menjadi tugas kerajaan,” katanya. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!