Masih ramai ditahan kerana ingkari PKP

Anggota Polis membuat sekatan jalan raya dalam memastikan orang ramai mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan di laluan keluar Plaza Tol Alor Setar Selatan di sini. - FOTO: BERNAMA
Anggota Polis membuat sekatan jalan raya dalam memastikan orang ramai mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan di laluan keluar Plaza Tol Alor Setar Selatan di sini. - FOTO: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR- Walaupun penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 sudah memasuki hari ke-10 hari ini, namun masih ada kalangan rakyat yang ingkar hingga ditangkap pihak berkuasa.

Sehingga jam 6 petang ini sahaja, seramai 88 individu di tujuh negeri ditahan pihak berkuasa atas kesalahan berkaitan penguatkuasaan PKP itu dengan negeri Sarawak mencatat jumlah tertinggi iaitu 37 orang.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail kesemua 37 individu itu, 33 daripadanya adalah lelaki, ditahan di 10 lokasi berasingan di negeri tersebut dalam tempoh 12 jam lalu ( sejak 7 malam semalam).

Sembilan belas individu turut ditahan di Johor iaitu masing-masing 11 di Mersing dan lapan remaja di Kota Tinggi kerana melakukan perkara yang sama.

Enam daripada sembilan belas individu itu adalah kumpulan remaja yang ditahan ketika sedang bersiap sedia untuk mengadakan sambutan hari jadi di Dataran Sri Lanang, kira-kira 5.30 petang bagi meraikan hari kelahiran seorang daripada kumpulan remaja itu, kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah.

Tiga lagi individu lelaki berusia 20-an ditahan ketika ditemui berkumpul dan berbual di sekitar kawasan Jalan Tanjung, Felda Sungai Sibol, malam tadi.

Antara sebelas individu yang ditahan di Mersing pula adalah remaja bawah umur dan kesemua individu berkenaan ditahan sama ada ketika sedang menunggang motosikal atau sedang berkumpul di luar rumah pada 11.15 malam dan 2.05 pagi, kata Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Cyril Edward Nuing.

Sementara itu Ketua Polis Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad mendedahkan dua individu berusia 30-an dan 40-an ditahan ketika melepak di tempat awam di Ujung Pasir, berhampiran premis lot kedai Utama Jaya sekitar 10 malam.

Artikel Berkaitan:

Kedua-duanya ditahan selepas gagal memberi alasan munasabah selepas disoal.

Seorang remaja berumur 16 tahun pula ditahan ketika sedang asyik bermain sepak takraw bersama rakan-rakannya di sebuah kawasan perumahan di Pekan, Pahang kira-kira 7.20 malam, namun rakannya yang lain berjaya melarikan diri, menurut Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Muhamad Halim Yatim pula memaklumkan mengenai penahanan dua lelaki berumur 64 dan 45 tahun kerana kedua-duanya masih berada di dalam sebuah kedai runcit pada 12.15 malam, melebihi jam dibenarkan iaitu 10 malam.

Lima daripada dua belas individu yang ditahan di Daerah Timur Laut, Pulau Pinang hari ini dicekup ketika sedang leka berkumpul sambil minum arak manakala tujuh lagi samasa berjoging dan bermain bola sepak di sebuah padang di Jalan DS Ramanathan, Pulau Tikus, menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Soffian Santong.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata pihaknya menahan sembilan orang termasuk dua wanita warga Thailand yang kesemuanya berusia 20 hingga 45 tahun kerana berkumpul di kawasan awam sekali gus gagal mematuhi PKP.

Tujuh lelaki berumur antara 27 hingga 46 tahun pula ditahan Langkawi selepas melanggar PKP dengan berkumpul di luar kuarters sebuah motel di Jalan Pantai Chenang dan enggan beredar selepas dinasihati berbuat demikian, menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim.

Kesemua suspek yang ditahan di tujuh negeri berkenaan disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan (3) Perintah Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 atau di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. - BERNAMA