Bisnes farmasi berdepan risiko wabak Covid-19

Tinjauan di farmasi masih terkawal tanpa pembeli bersesak untuk melakukan pembelian bekalan ubat.
Tinjauan di farmasi masih terkawal tanpa pembeli bersesak untuk melakukan pembelian bekalan ubat.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] GARA-GARA pengumuman lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini berikutan virus pembunuh Covid-19 yang semakin mengganas, ada yang berkeluh-kesah kerana sumber pendapatan terjejas teruk. Ada pula yang sudah tidak betah duduk di rumah.

Namun, perlu diingat bahawa perkara paling utama kini adalah memutuskan rantaian jangkitan virus tersebut.

Di sebalik kegusaran memuncak berikutan penularan wabak yang menyaksikan lebih 3 bilion penduduk dunia diarah duduk di rumah itu, sesetengah perniagaan perlu masih beroperasi pada waktu sukar ini, antaranya bisnes farmasi.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, seperti mana-mana bisnes yang lain, bisnes farmasi khususnya premis persendirian sedang menghadapi suasana yang sukar dalam senario jangkitan Covid-19 yang melanda sekarang.

“Perkhidmatan farmasi dikategorikan sebagai satu perkhidmatan penting dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kami juga berada di barisan hadapan komuniti rakyat seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ditanya adakah farmasi mempunyai sebarang protokol khas ketika ini, beliau berkata, semua premis farmasi menjalankan protokol khas untuk memastikan arahan-arahan kerajaan melalui PKP dipatuhi terutamanya jarak sosial dan keselamatan.

“Ahli-ahli farmasi sememangnya berpengetahuan tinggi dalam aspek kawalan jangkitan untuk diri sendiri, staf dan premis. Mereka dan staf menggunakan alatan perlindungan diri seperti topeng muka, pendinding muka dan lain-lain.

“Premis mereka dinyahkuman dua kali sehari untuk memastikan premis dilindungi daripada mikrob termasuk virus.

Artikel Berkaitan:

“Cara selamat melayan pelanggan juga dikenakan. Seorang pelanggan masuk pada premis pada satu-satu masa. Sanitizer tangan digunakan untuk kegunaan pelanggan semasa datang dan balik,” katanya sambil memberitahu terdapat lebih 18,000 ahli farmasi berdaftar dengan Lembaga Farmasi Malaysia.

Notis di sebuah farmasi yang memaklumkan bahawa bekalan topeng muka kehabisan stok.
Notis di sebuah farmasi yang memaklumkan bahawa bekalan topeng muka kehabisan stok.

Topeng muka

Menyentuh mengenai barangan paling laris di kebanyakan pusat farmasi, Amrahi menjelaskan, barangan yang menjadi item panas sudah tentulah topeng muka surgikal 3-ply bergred perubatan yang sukar diperoleh pelanggan.

“Permintaan luar biasa di pasaran menyebabkan topeng muka kehabisan stok dan masalah ini telah berlaku sejak sebelum perayaan Tahun Baru Cina lagi.

“Ia berlarutan hingga sekarang akibat kawalan harga jualan runcit yang diperkenalkan kerajaan. Harga siling runcit RM0.80 seunit sukar untuk dilakukan kerana harga yang diterima farmasi juga sudah jauh lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, katanya, masalah sanitizer tangan bagaimanapun tidak serumit topeng muka, namun kualiti disinfeksinya haruslah bertepatan dengan garis panduan antarabangsa iaitu kandungan alkohol mesti melebihi 65 peratus.

Menurutnya lagi, kawalan stok barangan dan ubat bergantung kepada jenis premis sama ada perniagaan persendirian, rantaian kecil atau rantaian besar dan juga kedudukan kawasan perkhidmatan.

“Buat masa ini tiada kekurangan stok ubat. PKP mungkin telah memberikan sedikit cabaran dari segi logistik dan juga ancaman jangkitan Covid-19 kepada individu-individu yang menghantar stok kepada premis farmasi.

“Memang menjadi satu kebimbangan dalam kalangan pemain industri farmasi mengenai stok ubat-ubatan kerana 80 hingga 90 peratus ubat-ubatan adalah diimpot dari luar negeri. Dengan kejatuhan nilai ringgit maka kos juga akan meningkat.

“Begitu juga dengan pengeluar-pengeluar ubat tempatan, kenaikan harga kos pengeluaran dijangka meningkat kerana bahan aktif farmaseutikal dan bahan-bahan pembuatan lain yang diimpot dari luar negara akan naik,” katanya.

Menurut Amrahi, kerajaan hendaklah menyokong industri pengeluaran ubat tempatan semasa tempoh PKP ini kerana keperluan ubat-ubatan akan terganggu pada bulan-bulan akan datang disebabkan kesan langsung wabak Covid-19 ini.

Dalam pada itu, seorang ahli farmasi daripada Health Lane Family Pharmacy, Siew Chiu Ghan, 27, pula berkata, pada ketika ini bisnes agak sedikit terkesan berikutan wabak Covid-19 yang sedang menular.

“Sekarang kami tidak lagi menjalankan pemeriksaan seperti kandungan gula bagi mengelakkan risiko jangkitan dan menumpukan kepada khidmat konsultasi, namun ia juga agak berkurangan sekarang. Ini kerana pelanggan tidak mahu berada di luar untuk tempoh wakt u lama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Risiko jangkitan

Ditanya adakah farmasi mengalami masalah kekurangan bekalan stok ubat-ubatan, Chiu Ghan berkata, setakat ini farmasinya masih mempunyai bekalan yang mencukupi bagi menampung keperluan pelanggan.

“Hampir 100 pelanggan datang ke farmasi bagi mendapatkan bekalan ubat masing-masing selain membeli hand sanitizier dan juga topeng muka.

“Kami mengehadkan pembelian topeng muka kepada lima helai untuk setiap pelanggan berikutan jumlah stok yang terhad. Buat masa ini kami belum mendapatkan stok baharu daripada pembekal,” katanya yang membuka premis di Kinrara, Selangor.

Menurutnya, sebelum ini topeng muka dijual pada harga RM0.80 sekeping, namun pihaknya masih menunggu sekiranya terdapat sebarang pelarasan harga baharu selepas ini.

Di peringkat antarabangsa, menurut Pengerusi Pasukan Petugas Kecemasan The International Pharmaceutical Federation, Jane Dawson, sejak virus Covid-19 diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, pihaknya melihat peningkatan kebergantungan terhadap ahli farmasi sebagai kontak pertama dengan sistem kesihatan.

Kesan pandemik Covid-19 turut dirasai pengendali farmasi di pelbagai negara. Di United Kingdom, misalnya, pemilik empat cawangan farmasi berkata, pihaknya menerima lebih 100 permintaan setiap hari untuk hand sanitizier namun mereka kehabisan stok.

“Selain terpaksa bekerja lebih masa, saya bimbang sekiranya pekerja farmasi terkena jangkitan. Jika ahli farmasi seluruh negara tidak dapat beroperasi ia akan memberi kesan terhadap kesihatan orang ramai,” kata Dawson.