Penjenayah seksual guna aplikasi sosial 'jerat' kanak-kanak

Antara individu yang telah diheret ke mahkamah untuk siasatan bagi kes seksual terhadap kanak-kanak.
Antara individu yang telah diheret ke mahkamah untuk siasatan bagi kes seksual terhadap kanak-kanak.
A
A
A

Dalam era teknologi yang serba canggih hari ini mampu menjadikan penggunanya lalai hinggakan ada pihak yang sanggup mengambil kesempatan melakukan perkara di luar batas manusia normal. Sebagai contoh telefon bimbit kini dilengkapi pelbagai aplikasi berbentuk hiburan, sosial atau pun permainan.

Bukan suatu yang pelik apabila ada kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak berpunca melalui perkenalan di media sosial seperti Wechat, Facebook, Beetalk atau seumpamanya. Perkara itu diakui oleh Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Superintendan Siti Kamsiah Hassan.

Siti Kamsiah berkata, modus operandi jenayah yang memulakan perkenalan di media sosial harus dibimbangi kerana kanak-kanak berusia di bawah 15 tahun berisiko menjadi mangsa jenayah kerana keupayaan mental mereka yang muda ini tidak mampu membezakan sesuatu maklumat melalui media ini sama ada baik atau buruk.

KAMSIAH
KAMSIAH

“Tidak perlu berjumpa, tapi melalui media sosial sahaja sudah cukup untuk penjenayah ini berkenalan dengan berkomunikasi secara seksual, hantar gambar lucah dan menggunakan bahasa yang mendorong kanak-kanak ini tertarik dengan aktiviti seksual.

"Bermula dengan ayat-ayat yang memuji kecantikan fizikal mangsa, sehingga akhirnya berjaya mendorong mangsa untuk berkongsi gambar tubuh badan atau bahagian-bahagian badan yang tidak sepatutnya dikongsi oleh mereka. Akhirnya gambar-gambar ini digunakan oleh suspek untuk mengugut mangsa bagi tujuan mendapat habuan seks," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, terdapat juga kes di mana mangsa yang sudah tertarik dengan perbualan seksual ini, atas sebab keupayaan mental mereka yang terbatas dalam membezakan buruk dan baik, maka akhirnya mereka tertarik untuk melakukan aktiviti seksual dengan suspek atau di kalangan rakan-rakan atau melakukan perbuatan jenayah seksual terhadap ahli keluarga yang lebih muda daripada mereka seperti kesalahan rogol atau seks luar tabii yang mana mangsa sendiri tidak tahu salah atau tidakdan akhirnya menjadi mangsa seksual atau seks luar tabii sebagainya.

Tambahnya, dalam perkenalan itu, suspek biasanya akan memujuk dan memberi kata pujian sebelum meminta mangsa ini untuk memberikan gambar-gambar bahagian tubuh badan yang lebih ‘private’ dan lucah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selepas berjaya memujuk dan berkongsikan sesuatu yang tidak sepatutnya ini, suspek akan bertindak lebih berani dengan mengajak mangsa melakukan hubungan seksual.

“Media sosial adalah satu medium yang harus dibimbangi kerana berdasarkan kes-kes dilaporkan mencatatkan aplikasi WeChat adalah yang tertinggi diikuti Facebook dan Beetalk,” katanya.

Mengulas mengapa aplikasi WeChat paling tinggi, Siti Kamsiah mendedahkan, ia kerana beberapa faktor seperti ciri-ciri aplikasi ini yang menarik dengan pelbagai emoji serta kemudahan yang terdapat pada aplikasi ini untuk menarik lebih ramai rakan chatting dengan hanya menggoncangkan telefon mereka jika ada pengguna aplikasi ini berada dalam lingkungan jarak yang tertentu dengan pengguna yang menggoncangkan telefon pintar mereka tadi. Ia secara automatik dapat mengajak pengguna lain yang berdekatan menyertai grup chatting berkenaan tanpa perlu mengetahui ID caller pengguna berkenaan.

Katanya lagi, identiti penjenayah siber (suspek) sukar dikesan kerana kebanyakan media sosial yang ada menggunakan khidmat server yang jauh di luar negara dan kesukaran untuk mendapatkan bahan bukti bagi mengesan penjenayah di samping kecekapan yang ada pada penjenayah siber ini dalam melindungi identiti mereka seperti menggunakan kod keselamatan atau teknologi encryption.

"Beberapa faktor mengapa orang dewasa tertarik melakukan jenayah seksual kanak-kanak iaitu faktor ketidakupayaan mangsa itu sendiri dari segi mental dan fizikal untuk melindungi diri," katanya.

Kes libatkan suspek dikenali

Siti Kamsiah berkata, banyak kes sumbang mahram dalam kalangan ahli keluarga seperti ayah, abang yang mana mangsa ini berada di bawah jagaan mereka, malah ada juga kes-kes melibatkan suspek daripada kenalan lelaki yang rapat dan sebagainya.

“Laporan yang kita terima, lebih 80 peratus kes seksual kanak-kanak ini melibatkan mereka yang dikenali seperti ahli keluarga, kenalan dan orang yang diberi amanah iaitu guru atau pengasuh dan selebihnya adalah mereka yang tidak dikenali,” katanya.

Tambah beliau, di kalangan ahli keluarga pula, suspek akan gunakan faktor kuasa dan kebergantungan mangsa kepada mereka bagi tujuan eksploitasi. Manakala bagi orang lain yang dipercayai seperti jiran pula akan bina kepercayaan dahulu dengan berbuat baik dan sebagainya sebelum ambil kesempatan.

"Mangsa tidak tahu apa yang dilakukan itu sama ada betul atau salah,” katanya.

Katanya lagi, bagi pesalah yang tak dikenali pula, suspek akan berjumpa secara rambang dengan mangsa di padang permainan dan sebagainya dan bila ada peluang akan ambil kesempatan.

"Contohnya mangsa jalan balik sekolah dan lihat tiada orang bersamanya sebelum bertindak di luar jangkaan," katanya.

Kebanyakan pelaku adalah di kalangan orang yang dikenali oleh mangsa seperti ahli keluarga.
Kebanyakan pelaku adalah di kalangan orang yang dikenali oleh mangsa seperti ahli keluarga.

Ketika ditanya sama ada pelaku jenayah terhadap kanak-kanak ini merupakan seorang pedofilia, beliau berkata, ianya merupakan istilah klinikal yang merujuk kepada orang dewasa yang cenderung untuk melakukan aktiviti seksual terhadap kanak-kanak yang belum baligh atau berumur bawah 12 atau 13 tahun.

Jelasnya, berdasarkan ‘trend’ jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia, kebanyakan pelakunya iaitu melebihi 80 peratus adalah di kalangan orang yang dikenali oleh mangsa seperti ahli keluarga, teman lelaki, jiran, guru dan kenalan-kenalan baharu.

Kebanyakan pelaku yang terdiri daripada orang dewasa ini telah mempunyai isteri dan anak di mana adalah sukar untuk melabelkan mereka ini sebagai pedofilia yang hanya mempunyai kecenderungan seks terhadap kanak-kanak semata-mata. Kebanyakan pelaku jenayah seks terhadap kanak-kanak ini adalah mereka yang mengambil peluang atau mengeksploitasi mangsa atas sebab ketidakupayaan mereka sama ada dari segi mental atau fizikal untuk melindungi diri mereka.

Menurut beliau lagi, sebagai contoh bagi kes-kes yang melibatkan sumbang mahram, terdapat kes di mana pelaku merupakan bapa kandung yang merogol dan meliwat anaknya beratus kali selama beberapa tahun semenjak usia anaknya 13 tahun.

"Kanak-kanak ini tidak berupaya untuk mengambil tindakan bagi melindungi dirinya kerana tidak memahami samada perbuatan bapanya itu suatu yang salah atau tidak kerana keliru dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh ayahnya," katanya.

Bagaimana untuk cegah

“Untuk menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini bukanlah tanggungjawab pihak tertentu sahaja, sebaliknya semua orang baik individu, keluarga, masyarakat dan kerajaan harus memainkan peranan.

"Pihak kerajaan melalui pelbagai agensinya turut berperanan penting dalam menangani jenayah ini. Sebagai contoh, PDRM sendiri telah mewujudkan pasukan siasatan khas bagi jenayah seksual terhadap kanak-kanak iaitu Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak D11 di semua peringkat baik di Bukit Aman, Kontinjen dan juga daerah.

"Pegawai penyiasat khas yang terdiri daripada pegawai wanita telah diberi latihan baik di dalam mahupun luar negara serta latihan-latihan dalam perkhidmatan bagi mengendalikan siasatan dengan lebih cekap dan menghasilkan kertas siasatan yang berkualiti agar tindakan undang-undang dapat diambil ke atas pesalah seksual kanak-kanak dan memberi keadilan kepada mangsa," katanya.

Tambah Siti Kamsiah, PDRM juga sering terlibat di dalam seminar dan bengkel penambahbaikan dari segi undang-undang dan tatacara mengendalikan kes kanak-kanak terutamanya mangsa jenayah seksual dengan agensi-agensi lain seperti jabatan Peguam Negara, badan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Bantuan Guaman, pihak Mahkamah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain agensi bagi memberi input trend jenayah dan kelemahan undang-undang dalam menangani kes-kes tersebut.

"Dengan input-input yang disampaikan itu suatu penambahbaikan dapat dilakukan dan antaranya ialah kewujudan Akta Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 khusus bagi menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

"Penambahan peruntukan seksyen kesalahan bagi pornografi kanak-kanak dan child grooming serta hukuman yang lebih tinggi berbanding undang-undang yang diguna pakai sebelum ini merupakan hasil perbincangan bersama pelbagai egensi yang prihatin tentang isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak," katanya.

Selain itu PDRM sering mengadakan kempen 'crime awareness' sama ada dengan kerjasama agensi lain atau NGO dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang jenayah ini supaya mereka tidak terjebak menjadi mangsa mahu pun pelaku.

“Malah, kita juga bekerjasama dengan syarikat telco dan NGO supaya maklumat ini terus sampai kepada masyarakat,” katanya.

Beliau menambah, dalam membantu mangsa dan menyelesaikan kes sebegini, pihaknya sentiasa memastikan pembangunan modal insan seiring dengan keperluan dan cabaran semasa terutamanya pegawai penyiasat agar dapat jalankan siasatan dengan lebih cekap.

Katanya, ia agar kes dapat dikendalikan dengan betul dan cekap agar suspek dapat dibawa ke muka pegadilan.

Pentingnya perhatian ibu bapa

Menurut Siti Kamsiah lagi, ibu bapa memainkan peranan paling penting bermula dari rumah iaitu bagi memberi kesedaran dan kepentingan menjaga keselamatan diri kepada anak-anak mereka.

“Beri pendedahan awal apa itu kesalahan seksual juga keselamatan apa yang boleh iaitu sejauh mana anak perempuan dan bapa atau adik-beradik lelaki mereka boleh bersentuhan serta memberi penekanan dalam aspek keselamatan siber terutama semasa melayari internet bagi mengelakkan mereka daripada terjebak sebagai mangsa atau pesalah jenayah seksual.

"Ibu bapa harus main peranan dalam beri pengetahuan awal selain beri didikan agama.

“Institusi seperti sekolah juga memainkan peranan untuk beri kesedaran melalui pendidikan awal mengenai perkembangan tubuh badan kepada murid-murid sekolah, tahap-tahap perkembangan fizikal dan psikologikal tubuh badan mereka dan apakah bentuk ancaman ke atas tubuh badan selain pendedahan mengenai undang-undang bagi kesalahan-kesalahan terhadap tubuh badan agar dapat menghindari kanak-kanak daripada menjadi mangsa atau pelaku jenayah.

"Menjadi tanggungjawab pihak sekolah juga untuk melaporkan sebarang kejadian penderaan seksual murid-murid mereka kepada pihak polis dengan kadar segera sama ada penderaan seksual dan sebagainya.

"Masyarakat juga sekiranya ada maklumat tentang kejadian seksual terhadap kanak-kanak harus disalurkan dengan pantas ke pihak bertanggungjawab,” katanya.

Tindakan undang-undang

Siti Kamsiah berkata, tindakan akan diambil mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak 2017.

Jelasnya, ibu bapa perlu tahu apa kemungkinan ancaman-ancaman yang bakal dihadapi. Kanak-kanak juga perlu ada integriti dan bersikap jujur dengan keluarga mereka, maknanya setiap apa dilakukan perlu kebenaran dan tunjuk ajar daripada orang dewasa.

“Bagi kes media sosial ini, tanpa pengawasan ibu bapa, kanak-kanak mempunyai risiko yang tinggi menjadi mangsa atau pelaku jenayah siber seksual kerana mereka tak ada keupayaan bezakan buruk baik dan seharusnya ibu bapa perlu ada rasa tanggungjawab untuk mengawasi aktiviti anak-anak di internet,” katanya.

Tambahnya, setiap masyarakat memainkan peranan penting dalam sama-sama membendung jenayah sebegini.

Kronologi kes serangan seksual kanak-kanak

3 Mac 2020

SUNGAI PETANI - Perbuatan seorang bapa mencabul dan meliwat anak perempuannya berusia 3 tahun serta merakam perbuatan tersebut terbongkar selepas gambar perlakuan terkutuk itu ditemui isterinya. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku antara jam 7 pagi hingga 3 petang ketika suspek yang berusia 25 tahun mengasuh anaknya kerana isterinya bekerja.

21 Januari 2020

PUTRAJAYA- Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas 80 pertuduhan merogol anak teman wanitanya yang juga gadis bawah umur sejak dua tahun lalu. Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 80, warga Sri Lanka berusia 37 tahun itu didakwa merogol mangsa dengan atau tanpa kerelaannya di sebuah rumah di Puchong, Selangor.

11 Januari 2020

KUALA NERUS - Seorang jururawat membuat laporan polis selepas mengesyaki anak perempuannya berusia 8 tahun menjadi mangsa cabul bapa saudara kepada pengasuh anaknya. Bagaimanapun, insiden hitam tersebut hanya diceritakan kanak-kanak itu kepada ibunya yang berusia 54 tahun itu ketika mereka sedang berehat di rumahnya, baru-baru ini.

30 Disember 2019

SUNGAI PETANI - Seorang bapa kepada lima anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di tandas sebuah surau, tiga minggu lalu. Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai kelindan lori melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh badan seorang kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun.

8 Disember 2019

KUALA TERENGGANU - Seorang bapa empat anak yang berdepan dengan 105 pertuduhan rogol dan liwat anak kandungnya sendiri yang berusia 15 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

5 Mei 2019

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja perempuan menjadi mangsa cabul anak kepada rakan baik ayahnya di sebuah bengkel di Chendering. Mangsa yang juga pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di sini, keluar bersama suspek berusia 20-an untuk membeli makanan kira-kira jam 1.30 pagi.