PUNB tawar tangguh bayar pembiayaan, pengecualian sewa premis enam bulan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menawarkan penangguhan pembayaran pembiayaan dan pengecualian penyewaan premis perniagaan selama enam bulan berkuat kuasa 1 April 2020 hingga 30 September 2020.

Pengerusinya, Datuk Hazimah Zainuddin dalam satu kenyataan berkata, ini selaras dengan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini.

Menurutnya, pemberian penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal dan keuntungan itu adalah secara automatik kepada Rakan Usahawan PUNB yang tidak mempunyai tunggakan melebihi 90 hari setakat 1 April, 2020.

Bagaimanapun katanya, bagi yang mempunyai tunggakan pembiayaan melebihi 90 hari, mereka masih boleh memohon penangguhan pembiayaan dan akan dinilai berdasarkan kes-kes tertentu mengikut pertimbangan oleh jawatankuasa PUNB.

Selain itu, ia turut menawarkan pengecualian pembayaran penyewaan premis perniagaan selama enam bulan kepada usahawan yang menyewa premis perniagaan PUNB di seluruh Negara.

“Pakej komprehensif ini adalah untuk memberikan bantuan kepada Rakan Usahawan yang menghadapi kekangan kewangan sementara akibat wabak Covid-19.

“Kami berharap, pakej ini dapat membantu Rakan Usahawan yang mengalami bebanan kewangan untuk menghadapi cabaran dalam tempoh ini,” katanya.

Hazimah berkata, pembayaran pembiayaan mengikut tempoh yang baharu dan penyewaan premis perniagaan akan disambung selepas tempoh enam bulan.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya Rakan Usahawan tidak mahu penangguhan pembiayaan, mereka perlu memaklumkan kepada PUNB dan membuat pembayaran pembiayaan seperti biasa,” katanya.

Tambahnya lagi, PUNB tetap memproses permohonan bagi pembiayaan baharu dan penambahan untuk Rakan Usahawan PUNB.

Menurutnya, bagi sebarang pertanyaan mengenai moratorium itu, Rakan Usahawan boleh menghubungi Pegawai Pemantauan yang telah ditugaskan menyelia akaun mereka melalui telefon atau emel masing-masing.

Manakala bagi pertanyaan am boleh menghubungi Pegawai Khidmat Pelanggan di talian bebas tol 1300 13 7862 atau talian am 03-2785 1515 atau emel ke customerservice@punb.com.my. - Bernama