BNM tambah peruntukan Tabung PKS

PKS juga boleh memohon tiga kemudahan lain di bawah tabung berkenaan iaitu ADF, AF dan MEF.
PKS juga boleh memohon tiga kemudahan lain di bawah tabung berkenaan iaitu ADF, AF dan MEF.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menambah peruntukan Tabung Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebanyak RM4.0 bilion kepada RM13.1 bilion yang menjadi antara langkah penambahbaikan membantu mereka yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19).

“Penambahan peruntukan di bawah Kemudahan Bantuan Khas (SRF) daripada RM2 bilion kepada RM5 bilion itu bertujuan membantu lebih banyak PKS yang terjejas.

“Kadar pembiayaan maksimum kini diturunkan kepada 3.5 peratus daripada 3.75 peratus setahun. Permohonan SRF yang ditambah baik ini dibuka sehingga 31 Disember 2020,” kata bank pusat itu dalam kenyataan di sini semalam.

BNM berkata, penambahbaikan lain turut membabitkan peruntukan tambahan kepada Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) daripada RM5.8 bilion kepada RM6.8 bilion bagi meningkatkan akses pembiayaan PKS dan menyokong pertumbuhan.

Kadar pembiayaan maksimum turut dikurangkan daripada 8 peratus setahun kepada tujuh peratus.

Menurut BNM, PKS juga boleh memohon tiga kemudahan lain di bawah tabung berkenaan iaitu Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan Agromakanan (AF) dan Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF).

Kemudahan SRF, AF dan ADF telah diumumkan di bawah pakej rangsangan ekonomi pertama pada 27 Februari 2020.

Sejak kemudahan tersebut dibuka untuk permohonan pada 6 Mac 2020, institusi kewangan yang menyertai usaha itu telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM119 juta kepada sejumlah 196 PKS dengan kadar kelulusan sebanyak 84 peratus, kata bank pusat itu.

Selain itu, bagi meningkatkan akses bagi membantu pendanaan dan membina keupayaan usahawan dalam kalangan pengusaha mikro B40, satu program kewangan sosial iTEKAD akan diperkenalkan oleh bank-bank Islam terbabit dengan kerjasama beberapa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan rakan pelaksana.

Artikel Berkaitan:

Menurut BNM, sebagai permulaan, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) akan menjadi bank Islam peserta pertama menerajui program iTEKAD bermula Mei 2020.

Pelaksanaan program yang turut melibatkan latihan dan pendidikan kepada penerima serta pemantauan yang akan dijalankan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).

“BNM turut merancang untuk memperluaskan program iTEKAD kepada lebih banyak institusi kewangan dan di negeri-negeri lain,” katanya. - Bernama