Harry dan Meghan pindah ke Los Angeles?

Harry dan Meghan bersama anak mereka, Archie menetap di Pulau Vancouver di Kanada sejak beberapa bulan lalu. - FOTO: AGENSI
Harry dan Meghan bersama anak mereka, Archie menetap di Pulau Vancouver di Kanada sejak beberapa bulan lalu. - FOTO: AGENSI
A
A
A

LONDON - Pewaris keenam takhta diraja Britain, Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle telah meninggalkan Pulau Vancouver di Kanada dan berpindah ke Los Angeles.

Pasangan tersebut yang memutuskan untuk melepaskan keistimewaan diraja dikatakan merancang untuk menjadikan Los Angeles sebagai kediaman tetap mereka.

Semalam, akhbar The Sun melaporkan Harry dan Meghan menaiki pesawat peribadi, namun tidak dinyatakan tarikh mereka berdepan memandangkan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada pada minggu lalu bersetuju untuk menutup sempadan terhadap sebarang perjalanan tidak penting bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19).

Jurucakap kepada Duke of Sussex itu juga enggan memberikan sebarang komen tentang laporan itu yang disebut sebagai ‘berita eksklusif’ oleh The Sun.

Harry dan Meghan akan menamatkan tugas diraja mereka pada akhir bulan ini dan sedang merancang ‘peranan baharu yang progresif’ yang berpusat di Amerika Utara bertujuan untuk membiayai sendiri kehidupan mereka.

“Langkah tersebut telah dirancang. Mereka sedar Kanada bukan lokasi sesuai untuk memulakan kehidupan baru,” lapor akhbar itu memetik sumber istana.

Difahamkan, laporan itu diterbitkan pada hari sama Disney mengumumkan Duchess of Sussex akan mengisahkan dokumentari berjudul Elephant yang akan disiarkan menerusi platform streaming Disney+ pada 3 April depan. - Agensi

Artikel Berkaitan: