Malaysia terpilih uji keberkesanan ubat Covid-19

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia telah dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menjalankan kajian bagi menguji keberkesanan ubat yang merawat Covid-19, Remdesivir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemilihan negara ini dibuat berikutan keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melakukan keupayaan kajian klinikal.

"WHO telah menghubungi KKM untuk memaklumkan perkara itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, kajian akan tertumpu di Hospital Sungai Buloh dan hospital Covid-19 yang lain termasuklah hospital universiti.

"Data-data pesakit akan dikumpulkan dan kajian terhadap pesakit Covid-19 sama ada ubat tersebut mujarab ataupun tidak, " katanya.

Beliau berkata, kajian tersebut akan dijalankan secepat mungkin.

"Malam ini kementerian akan berbincang lanjut dengan WHO," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KKM telah melakukan ujian pengesanan antigen pantas, namun bagaimana pun ketepatan hanya sekitar 30 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Hasilnya tidak bagus. Setiap kit ujian perlu dipastikan tahap sensitivitinya.

"Kita kena pastikan sensitivitinya tinggi untuk hasil yang yang berkesan," katanya.

Mengulas mengenai virus Covid-19 boleh bertahan selama lapan jam di udara, Dr Noor Hisham berkata, kajian WHO berdasarkan prosedur inkubasi.

"Nasihat WHO itu adalah apabila kita menjalankan prosedur inkubasi.

"Sewaktu melakukan prosedur itu kemungkinan ada titisan berlaku di udara, jadi sebab itu kita nasihatkan agar petugas kesihatan memakai peralatan pelindung diri (PPE) sewaktu bertugas," katanya.