Penuntut Malaysia dikuarantin di hospital Mesir

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penuntut perempuan dari Malaysia kini dikuarantin di Hospital 15th Of May di Kaherah, Mesir kerana disyaki mempunyai gejala Covid-19 selepas menjalani ujian saringan di sebuah pusat kesihatan di ibu negara itu baru-baru ini.

Satu sumber dari sebuah persatuan pelajar Malaysia di Mesir berkata, penuntut berusia lingkungan awal 20-an dan sedang mengikuti kursus pengajian Islam di sebuah universiti di Kaherah itu dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 22 Mac lalu.

"Pelajar berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan pihak hospital sentiasa memantau keadaannya.

“Kami dimaklumkan pelajar itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar Mesir atau mempunyai kontak dengan individu positif Covid-19,” kata sumber itu ketika dihubungi.

Menurut sumber, keluarga pelajar berkenaan sudah dimaklumkan mengenai perkara itu, namun sehingga kini belum ada laporan perubatan dikeluarkan hospital tentang keadaan kesihatan pelajar itu.

Minggu lalu, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah menasihatkan semua penuntut Malaysia di Mesir supaya tidak memandang remeh ancaman Covid-19 dan sentiasa mengambil langkah pencegahan.

Kedutaan itu sentiasa memantau perkembangan berkaitan kes positif Covid-19 di Mesir yang setakat semalam menyaksikan seramai 456 orang disahkan dijangkiti dan 21 lagi meninggal dunia.

Pihak berkuasa Mesir mengeluarkan perintah menutup semua universiti dan sekolah selama dua minggu bermula 15 Mac dan sejak kelmarin turut menguatkuasakan perintah berkurung bermula jam 7 petang sehingga 6 pagi selama dua minggu.

Artikel Berkaitan:

Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga menasihati penuntut Malaysia yang mempunyai gejala penyakit Covid-19 menghubungi Setiausaha II Pendidikan KBMK, Rafidi Zainol di talian +2011 1333 0857.

Boleh juga hubungi Mohd Yasser Abdul Ghani di talian +2011 5675 4445, Mohammed Tasyreef Mohamd Tarmizi (+2010 9856 9800) dan Nur Zaim Mohd Nur Aldin (+010 2523 4298). - Bernama