Pulau Pinang umum pengecualian dua bulan sewa PPR

Jagdeep
Jagdeep
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri mengumumkan pengecualian dua bulan bayaran sewa untuk Rumah Sewa Kerajaan Negeri dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi meringankan beban penduduk yang terjejas semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, pengecualian itu melibatkan seramai 4,860 penyewa di 14 perumahan yang dikelola oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lapan kawasan perumahan sewaan kerajaan negeri di sini.

Menurutnya, mereka tidak perlu membayar sewa untuk bulan April dan Mei depan sebaliknya akan ditanggung kerajaan negeri dengan melibatkan kos sebanyak RM932,844.

Selain itu katanya, turut dibantu peniaga kecil yang menyewa premis perniagaan milik kerajaan negeri termasuk pasar awam dan lot kedai dengan mendapat pengecualian bayaran sewa selama sebulan pada April depan.

"Pengecualian sewa ini melibatkan sebanyak 10,999 premis perniagaan termasuk di kawasan Seberang Perai dan Pulau dengan melibatkan jumlah kos yang ditanggung kerajaan negeri bagi perkara ini sebanyak RM1.61 juta," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jagdeep berkata, kerajaan negeri juga mengumumkan penangguhan tiga bulan untuk skim sewa untuk memiliki di bawah seliaan Bahagian Perumahan yang akan memberi manfaat kepada 541 penyewa.

Katanya, walaupun insentif ini tidak melibatkan pengurangan hasil kepada kerajaan negeri, namun jumlah hasil boleh dikutip yang akan lewat diterima adalah berjumlah RM150,000.

Selain itu tambahnya, kesemua penyewa skim perumahan juga akan dibenarkan penangguhan tempoh akhir bayaran cukai petak atau cukai tanah untuk tiga bulan iaitu daripada 31 Mei kepada 30 Ogos 2020.

Artikel Berkaitan: