Syarikat air di seluruh negeri digesa laksana skim bantuan

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Alam Sekitar menggesa semua syarikat atau operator air di seluruh negeri mempertimbangkan untuk meringankan beban pengguna air dari segi kadar dan tempoh pembayaran caj bil air sepanjang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketika ini syarikat Ranhill Syarikat Air Johor (RSAJ) dan kerajaan Sabah telah melaksanakan perkara itu dalam usaha mengurangkan beban rakyat.

"Skim bantuan pertama oleh RSAJ melibatkan pengurangan caj bil air sebanyak 50 peratus terhadap bil keseluruhan pengguna dalam kumpulan B40 bagi bulan Mac ini.

"Skim bantuan kedua pula ialah penangguhan aktiviti pemotongan bekalan air di sepanjang tempoh PKP.

"Bagi kerajaan Sabah pula, mereka mengecualikan bayaran bil air kepada pengguna domestik selama tiga bulan mulai April," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, tindakan yang diambil oleh RSAJ dan kerajaan Sabah itu perlu dihargai dan tepat pada masanya dalam membantu meringankan beban hidup serta memudahkan urusan rakyat di negeri berkenaan.

"Saya menggesa agar semua operator air di negeri-negeri lain mengamalkan konsep bantu-membantu dalam menghadapi kesusahan untuk mempertimbangkan langkah serupa ke arah meringankan beban rakyat di samping memastikan perkhidmatan bekalan air tidak tergendala dalam situasi pandemik ini," katanya.

Jelasnya, kementerian yang diterajuinya juga telah merangka pelbagai inisiatif untuk menghadapi pandemik ini supaya bekalan air tidak terjejas dalam tempoh PKP dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian ini melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sentiasa memantau mutu perkhidmatan dan kualiti pembekalan air terawat dan komited dalam memastikan bekalan air bersih tidak terganggu di sepanjang masa terutama dalam tempoh PKP," katanya.