Henti kenyataan hina bangkit kebencian dalam media sosial

Azis Jamman
Azis Jamman
A
A
A
KUALA LUMPUR - Hentikan kenyataan-kenyataan penghinaan dalam media sosial untuk membangkitkan kebencian dalam kalangan rakyat, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata tindakan berkenaan tidak boleh diterima sama sekali dan mahukan tindakan berkenaan dihentikan serta-merta.

Kata Mohd Azis, beliau memandang serius kenyataan beberapa pemimpin badan bukan kerajaan baru-baru ini yang cuba membangkitkan sentimen kebencian dan berlagak seperti samseng dengan membuat pelbagai ancaman kepada masyarakat berbilang agama dan kaum.

“Saya menggesa supaya semua pihak menjaga keamanan dan keharmonian antara kaum yang sudah lama dikecapi dan janganlah dirosakkan semata-mata mahu memenuhi agenda politik pihak berkepentingan semata-mata.

“Bagaimanapun, saya percaya dan yakin dengan rakyat Malaysia yang matang dapat menilai baik dan buruk sesuatu tindakan dengan tidak mengambil tindakan mengikut nafsu sendiri hanya kerana hasutan daripada pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Artikel Berkaitan:


Mohd Azis turut menegaskan tidak ada halangan untuk menganjurkan perhimpunan bagi menyatakan sesuatu bantahan, namun sebarang bentuk provokasi dan tindakan tidak waras perlu dielakkan.

Katanya, semua pihak perlu menghormati undang-undang negara dan tidak mengambil tindakan yang hanya akan memudaratkan negara Malaysia yang dicintai. – Bernama