116 warga asing ditahan cuba berkumpul solat Jumaat

Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A
JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Hasrat 116 pekerja warga asing yang mahu menunaikan solat Jumaat tengah hari ini di atas bumbung sebuah kilang di Muar tidak kesampaian apabila perbuatan mereka berjaya dikesan pihak berkuasa sebelum ditahan.

Warga asing itu terdiri daripada warga Pakistan, Bangladesh dan Indonesia ditahan ketika melakukan persiapan untuk menunaikan solat Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semasa operasi tersebut jemaah berkenaan memberi alasan tidak tahu mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagi saya alasan itu tidak boleh diterima. Sehubungan itu kesemua individu terlibat ditahan. Kita juga akan menyiasat majikan mereka sama ada maklum terhadap perkara tersebut atau tidak dan tindakan lanjut akan diambil.

"Tindakan lanjut terhadap kesemua warga asing itu akan dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurutnya, penahanan itu menjadikan jumlah keseluruhan individu ditahan kerana melanggar PKP sejak 18 Mac lalu seramai 149 orang termasuk 33 warga tempatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, tujuh lagi jemaah tabligh yang mengikuti program Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi, Indonesia sudah pulang ke negara ini.

"Mereka yang pulang menerusi Terminal Feri Stulang Laut di sini sudah menjalani pemeriksaan kesihatan dan didapati negatif Covid-19," katanya.

Sebelum ini, seramai 36 jemaah tabligh yang mengikuti program itu sudah pulang secara berperingkat dari 23 Mac hingga semalam.

Artikel Berkaitan: