Rakyat Pahang teruja terima Sultan baharu hari ini

No Image Caption
A
A
A

PEKAN - Tanggal 15 Januari mencatat sejarah istimewa untuk rakyat Pahang apabila istiadat pemasyhuran Sultan Pahang keenam dalam era moden, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berlangsung di Istana Abu Bakar pagi ini.

Istiadat pemasyhuran yang akan disaksikan 1,600 tetamu terdiri daripada kerabat diraja, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan wakil masyarakat termasuk ketua kampung di negeri ini dijadual berlangsung pada 11 pagi di Balairung Seri.

Pemasyhuran Sultan Abdullah sebelum ini diputuskan dan dipersetujui sebulat suara oleh kerabat diraja Pahang dan ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri pada mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang di ibu negara, Jumaat lepas.

Keputusan itu diambil berikutan keadaan Sultan Ahmad Shah yang kini gering dan tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah.

Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal Pekan merupakan cahaya mata keempat dan putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.

Sebelum dilantik menjadi raja pemerintah negeri ini, Sultan Abdullah pernah dua kali diamanahkan menjadi Pemangku Raja Pahang iaitu kali pertama pada 28 April 1979 semasa Sultan Ahmad Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan kali kedua pada 28 Dis 2016 semasa kesihatan Sultan Ahmad Shah mula merosot.

Sultan Abdullah mendirikan mahligai dengan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 6 Mac 1986.

Baginda dikurniakan empat putera dan lima puteri. - Bernama

Artikel Berkaitan: