Tiga LRA di Selangor beroperasi semula

LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) terpaksa dihentikan operasi hari ini berikutan pencemaran minyak yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor pagi tadi.
LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) terpaksa dihentikan operasi hari ini berikutan pencemaran minyak yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor pagi tadi.
A
A
A

SHAH ALAM – Tiga Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor yang terpaksa dihentikan operasi pagi tadi berikutan pencemaran minyak pada sumber air mentah di Sungai Selangor telah beroperasi semula pada jam 11.55 pagi tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada jam 9.40 pagi.

Menurut kenyataan itu, pencemaran disyaki akibat sisa minyak diesel yang dikesan di Sungai Selangor.

“Siasatan di kawasan alur kolam KL-Larut menemukan kesan lapisan minyak berhampiran sebuah kilang di Bestari Jaya. Berikutan itu, LUAS mengaktifkan Kod Merah kecemasan pencemaran sungai di negeri Selangor.

“Selaras dengan itu, LUAS juga mengaktifkan pengepaman kolam alternatif (OPAK) di Bestari Jaya sebanyak 853 juta liter sehari (JLH) air untuk meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, pintu baraj Bestari Jaya turut dibuka sementara bagi mempercepatkan aliran ke hilir Sungai Selangor.

Kenyataan itu turut memaklumkan pihak LUAS memasang ‘oil boom’ di kawasan alur terlibat bagi mengawal baki aliran minyak dari mengalir ke dalam kawasan Sungai Selangor.

“LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) serta pihak terlibat sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh di lokasi dan melaksanakan langkah kawalan serta mitigasi bagi mengelakkan punca pencemaran berulang,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) terpaksa dihentikan operasi hari ini berikutan pencemaran minyak yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor pagi tadi.

Air Selangor menerusi satu kenyataan memaklumkan pencemaran itu dikesan pada jam 9.30 pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran minyak, tiga LRA henti operasi