Bursa Malaysia dibuka tinggi menjelang pengumuman PM

No Image Caption
A
A
A

BURSA Malaysia meneruskan aliran menaik bagi hari keempat berturut-turut hari ini didorong oleh keyakinan pasaran terhadap pengumuman pakej rangsangan ekonomi pada petang ini.

Pada jam 9.05 pagi, indeks utama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 14.06 mata kepada 1,342.15 daripada 1,328.09 ketika ditutup semalam.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 488 berbanding manakala 137 kaunter tidak berubah, 1,296 kaunter tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 601.90 juta bernilai RM258.05 juta.

Penganalisis berkata, pasaran meneruskan momentum menaik apabila para pelabur menanti pengumuman hari ini mengenai langkah-langkah kerajaan seterusnya untuk menyokong ekonomi domestik dalam mengharungi cabaran kesan koronavirus (Covid-19).

"Pakej rangsangan ekonomi pertama bernilai RM20 bilion gagal dan terlepas peluang untuk meningkatkan keyakinan pasaran disebabkan ketidakstabilan politik tempatan.

"Bagaimanapun, dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan, ia penting bagi pelabur untuk melihat langkah kerajaan seterusnya dalam membendung wabak Covid-19," katanya.

Dua hari lepas, Bank Negara Malaysia mengumumkan moratorium selama enam bulan bagi pembayaran balik pinjaman dan penstrukturan semula baki kad kredit yang belum dijelaskan untuk mengurangkan impak kewangan yang timbul akibat pandemik itu.

Artikel Berkaitan:

Sehingga semalam, krisis kesihatan akibat Covid-19 mencatatkan 23 kematian di Malaysia dengan lebih 2,000 kes positif jangkitan direkodkan.

Sementara itu, S&P 500 naik lebih enam peratus ketika dagangan ditutup pada Khamis selepas Senat Amerika Syarikat meluluskan pakej fiskal bernilai AS$2 trilion untuk memerangi wabak itu.

Ini mendorong kenaikan di penanda aras ekuiti Jepun dan Korea Selatan masing-masing melebihi dua peratus manakala pasaran Australia mengalami penyusutan sederhana selepas mencatatkan kenaikan awal.

Bagi prestasi wajaran tinggi, 22 daripada 30 kaunter mencatatkan kenaikan dengan kaunter kewangan mendahuluinya apabila Maybank naik 10 sen kepada RM7.37, Public Bank menambah 28 sen kepada RM15.82 dan CIMB Group menokok tujuh sen kepada RM3.57.

Bagi saham paling untung, kaunter barangan dan perkhidmatan pengguna terus menguasainya dengan Nestle melonjak RM1.90 kepada RM138.90, Panasonic Manufacturing meningkat RM1.28 kepada RM26.28 manakala kaunter Heineken dan Carlsberg masing-masing naik 70 sen dan 60 sen kepada RM22.60 dan RM25.80.

Kaunter minyak pula terus menjadi saham paling aktif dengan Sapura Tenaga, Bumi Armada dan Hibiscus masing-masing naik setengah sen kepada lapan sen, 14 sen dan 34 sen.

Prestasi indeks keseluruhan juga positif kebanyakannya, dengan Indeks Emas FBM naik 126.06 mata kepada 9,190.51 manakala FBM 70 menokok 222.91 mata kepada 10,551.49 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 115.70 mata kepada 10.020.07.

Indeks FBMT 100 meningkat 116.51 mata kepada 9,120.17 dan FBM Ace naik 69.40 mata kepada 3,748.82.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.87 mata kepada 104.43, Indeks Perladangan turun 0.96 mata kepada 6,055.11 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 185.03 mata kepada 12,288.4. - Bernama