Industri Halal kekal berdaya tahan

Hairol Ariffein Sahari
Hairol Ariffein Sahari
A
A
A

INDUSTRI Halal kekal berdaya tahan meskipun berdepan cabaran susulan krisis Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia (HDC), Hairol Ariffein Sahari berkata, berdasarkan unjuran awal tahun ini, eksport Halal tahunan Malaysia akan mencapai anggaran RM50 bilion dan industri Halal dijangka menyumbang kira-kira 7.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2020.

Menurutnya, makanan dan minuman Halal kekal pada kedudukannya sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Halal tempatan sebanyak RM22.05 bilion pada 2019, diikuti bahan Halal dengan sumbangan RM12.64 bilion, kosmetik dan penjagaan diri (RM2.95 bilion), derivatif minyak sawit (RM1.26 bilion), bahan kimia industri (RM917.2 juta) dan farmaseutikal (RM400.9 juta).

Katanya, analisis sentimen HDC menunjukkan potensi ekonomi industri Halal sebahagian besarnya bertanggungjawab kepada menggalakkan pelaburan asing dan domestik, terutamanya dalam pengeluaran minyak sawit.

“Peningkatan harga minyak sawit mentah Malaysia yang ketara untuk satu tan antara faktor utama kepada prestasi industri Halal pada 2019, berikutan industri mengalami pembetulan pasaran melalui kenaikan lebih 20 peratus berbanding 2018,” katanya dalam satu kenyataan Rabu lalu.

Hairol Ariffein berkata, kepelbagaian minyak sawit sebagai bahan Halal untuk produk makanan dan bukan makanan serta komitmen kerajaan terhadap standard Minyak Sawit Mampan Malaysia, menjana minat global yang ketara terhadap eksport derivatif minyak sawit, menjadikannya komponen sesuai kepada pengeluar Halal.

Dalam pada itu katanya, HDC menyasarkan untuk terus menambah bahagian pasaran Malaysia melalui program strategiknya dan pihaknya melihat terdapat banyak ruang untuk pertumbuhan, terutamanya dalam landskap pengeksport Malaysia tempatan.

"Terdapat sebanyak 1,876 pengeksport Halal pada tahun 2019 berbanding 1,827 dicatatkan pada 2018, mewakili 2.7 peratus peningkatan pertumbuhan.

Artikel Berkaitan:

"Sebahagian besar eksport tempatan diwakili industri kecil dan sederhana sebanyak 1,430 syarikat, lebih 75 peratus daripada jumlah saiz, dengan syarikat multinasional membentuk baki jumlah pengeksport," katanya.

Beliau berkata, sebagai sekretariat Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia, HDC memegang peranan penting dalam pembangunan ekonomi Halal dan bersedia untuk mewujudkan hubungan antara Malaysia dan ekosistem Halal negara lain.

“Kami akan menghubungkan ekosistem Halal Malaysia ke seluruh dunia dan menjangka usaha ini akan mewujudkan peluang kepada penggiat industri dan pihak-pihak dalam ekosistem tersebut dengan tumpuan kepada perdagangan, pelaburan, pekerjaan yang berkualiti dan pertukaran teknologi,” katanya.