Sabak Bernam dibadai ribut

Sebuah rumah penduduk yang terjejas dalam kejadian ribut petang semalam.
Sebuah rumah penduduk yang terjejas dalam kejadian ribut petang semalam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung lebih 30 rumah di daerah ini diterbangkan angin petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu mengakibatkan beberapa rumah penduduk rosak teruk.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya menerima beberapa laporan daripada penduduk berhubung kejadian berkenaan.

"Antara rumah mangsa terlibat ialah seorang pengawal keselamatan berusia 25 tahun yang menetap di Parit 8 Barat, Sungai Besar.

"Menurut laporan, kediaman mangsa terjejas apabila ribut disusuli angin kencang menerbangkan bumbung bahagian dapur, bilik air dan ruang tamu rumah berkenaan," katanya.

Agus Salim berkata, pihaknya turut menerima laporan membabitkan tiga rumah di Parit 3 1/2, Parit 4 Barat dan Parit 6 Barat di sini, yang turut dibadai ribut.

"Sebahagian bumbung rumah penduduk terbabit rosak dan diterbangkan angin dalam kejadian berkenaan," katanya.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan membabitkan lapan rumah penduduk di kawasan Parit 3 1/2 dan Parit 8 Barat di sini.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa diterima oleh pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan sebanyak 37 rumah penduduk di dua mukim dilaporkan terjejas di daerah itu sehingga jam 9 pagi ini.

Sebanyak 33 rumah penduduk di Mukim Panchang Bedena dan empat rumah penduduk di Mukim Sabak terjejas dalam kejadian berkenaan.