X

Kindly register in order to view this article
!

Perkeso laksana ERP, program bantuan pekerja hilang pekerjaan

A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia melalui agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melaksanakan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) yang diperkenalkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, ERP yang dilaksanakan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) akan bertindak sebagai bantuan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan.

“Bantuan tersebut diberikan dalam bentuk faedah bantuan kewangan sementara dan perkhidmatan pekerjaan,” katanya menerusi ucapan Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) hari ini.

Dalam pada itu, Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) juga melancarkan inisiatif Pakej Rangsangan Latihan 2020 (PRL2020) yang bakal memberi manfaat kepada lebih 40,000 pekerja tempatan.

Saravanan berkata, pakej itu bakal menawarkan pelepasan kepada lapan subsektor yang terkesan oleh koronavirus (Covid-19) antaranya perhotelan, pengurusan pelancongan dan pengangkutan udara.

Sementara itu, Saravanan turut mengingatkan majikan tidak memotong gaji pekerja atau memaksa para pekerja mengambil cuti tahunan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Para majikan digesa dan dinasihatkan untuk membayar gaji penuh sepanjang tempoh PKP. Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan kebajikan dan kesihatan pekerja terjaga.

“Saya turut menyeru supaya rakyat Malaysia, mematuhi PKP yang diumumkan oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pada 16 Mac lalu. Marilah kita bersatu hati dan bekerjasama untuk membendung penularan virus COVID-19 ini. Stay calm, stay home,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus