Pelabuhan diminta pindah semua barang bukan keperluan ke gudang sementara

Ka Siong
Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan mengarahkan supaya semua pelabuhan diberikan pengecualian khas bagi memindahkan barangan bukan keperluan asas untuk dialihkan ke gudang sementara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan gudang yang terdapat di dalam kawasan pelabuhan dapat diisi dengan barang-barang keperluan asas.

"Saya telah mengarahkan supaya pelabuhan yang berkaitan diberi pengecualian khas untuk memindahkan barangan yang bukan keperluan asas untuk dialihkan ke gudang-gudang (sementara) di luar pelabuhan agar memberi ruang supaya pemindahan barangan keperluan (essential goods) dapat dibuat serta-merta antara 27 dan 29 Mac 2020.

"Sehubungan itu, tindakan susulan perlu dilakukan segera di pelabuhan supaya tidak berlaku kesesakan di gudang-gudang sekitar pelabuhan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, syarikat pengangkutan yang membawa barangan dengan ini diberi kebenaran untuk kerja-kerja pemindahan selama 24 jam sehari antara Jumaat (27 Mac) dan Ahad (29 Mac).

Bagi membolehkan transit dan penghantaran semua barangan termasuk barangan keperluan dan barangan bukan keperluan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak Polis Diraja Malaysia akan membenarkan kenderaan pengangkut barangan itu bergerak di jalan raya antara Jumaat (27 Mac) dan Ahad (29 Mac).

"Kenderaan yang membawa muatan barangan ini hendaklah mematuhi syarat-syarat sebagaimana yang telah dinyatakan dalam kenyataan media Majlis Keselamatan Negara bertarikh 18 Mac 2020," katanya.

Menurutnya, sektor pengangkutan begitu penting ketika PKP dikuatkuasakan dan memainkan peranan utama bagi memastikan setiap isi rumah dapat mengakses keperluan harian mereka.

Artikel Berkaitan: