Boleh tular jangan selar

A
A

KITA berada dalam zaman teknologi serba canggih dengan kepesatan teknologi internet. Hampir semua orang memiliki telefon pintar dan menggunakan media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter, dan YouTube.

Seiring dengan kemudahan komunikasi di hujung jari ini, perkataan 'viral’ atau tular bukanlah sesuatu yang asing lagi. Setiap berita atau peristiwa mampu ditularkan kepada ribuan atau jutaan pembaca dalam masa yang singkat.

Badan-badan kebajikan serta NGO juga tidak ketinggalan menggunakan media sosial bagi mendapatkan pendanaan awam serta menyalurkan maklumat berkenaan pihak yang dibantu.

Ia cara mudah dan efisien untuk membuka mata masyarakat tentang kesusahan golongan ini dan memudahkan juga mereka untuk menggalakkan penglibatan anggota masyarakat agar turut sama bantu mereka yang memerlukan.

Bagaimanapun, terdapat segelintir pihak yang cuba menjadi hero dengan menyalahgunakan teknologi ini sehingga menimbulkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Niat menularkan untuk membuka mata anggota masyarakat itu sudah baik tetapi apabila ditambah dengan ayat-ayat yang menyelar seolah-olah tiada yang peduli tentang nasib golongan yang mereka santuni, ia menjadikan perbuatan itu bersifat negatif.

Apatah lagi apabila sudah tular, wira papan kekunci yang lain pula akan mengecam pihak berwajib secara berjemaah.

Maka keluarlah kenyataan seperti, “YB tidak buat kerja”, “Penghulu tidur”, “Imam masjid tidak pedulikan kariah mereka”, “JKM makan gaji buta”, dan sebagainya.

Baru-baru ini, telah tular kisah seorang warga emas yang menjual asam keping bagi menampung keperluan harian. Nenek yang berumur 80 tahun itu tinggal di sebuah kampung di Pasir Puteh, Kelantan. Menurut laporan mStar Online, kisah yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook itu telah dikongsi lebih 17,000 kali.

Kisah tersebut terdapat di portal mStar Online dengan tajuk, “Cadar hanya guni beras! Nenek daif tak jemu tunggu bantuan walau 'setiap kali pergi bank duit tak masuk-masuk’”.

Jika dibaca komen pengguna Facebook, ada yang menggunakan bahasa kasar, ada yang mengecam, dan pelbagai lagi tohmahan; tidak pasal-pasal dapat dosa kering.

Penyelaras Unit Kebajikan Produktif di pejabat JKM Jajahan Pasir Puteh telah memberikan laporan rasmi susulan berita tular tersebut.

Laporan tersebut antara lain menyatakan nenek yang tidak mempunyai zuriat itu adalah penerima Bantuan Orang Tua (BOT) sebanyak RM350 sebulan daripada JKM. Selain itu, beliau juga mendapat sumbangan bulanan daripada anak saudaranya.

Pada usia 80 tahun, dengan kudrat terbatas, memang sukar membayangkan nenek tersebut menjaja asam keping demi jana pendapatan.

Keazamannya itulah yang mengagumkan, jika dibandingkan dengan golongan yang hanya mengharapkan bantuan dan sumbangan tanpa mahu berusaha bersungguh-sungguh.

Walaupun dalam keadaan berjalan terketar-ketar, beliau tetap mahu berniaga bagi menampung perbelanjaannya.

Rentetan berita tular tersebut, ramai hamba ALLAH tampil membantu. Ada yang menjelaskan bil elektrik yang tertunggak, ada yang memberikan sumbangan wang tunai, dan ada yang menghantar bekalan makanan.

Kepada yang menyumbang dan membantu, syabas, anda sudah menambah saham akhirat anda. Semoga mereka yang budiman ini dimurahkan lagi rezeki. Kepada yang mengecam serta menyelar tanpa usul periksa, muhasabahlah dan mohon maaf kepada pihak terbabit.

Banyak sekali cerita yang tular, setelah diselidiki, tidaklah terlalu susah atau daif sehingga tidak makan nasi. Mungkin memang nampak teruk jika dilihat pada luaran tetapi setelah siasatan dilakukan, ada yang menerima pencen sebanyak RM2,000 sebulan.

Terdapat juga kes melibatkan responden yang mempunyai simpanan di bank sebanyak RM55,000 walaupun memang ada juga yang mungkin baru ditimpa kesusahan akibat kemalangan atau sakit kronik serta belum mendapat sumbangan mana-mana pihak.

Kesimpulannya, kebaikan dan keburukan, apa sahaja tindakan atau perbuatan bergantung kepada niat; begitulah juga budaya tular ini. Jika kita berniat ingin membantu dan menggalakkan anggota masyarakat membuat kebajikan, itu baik.

Sebaliknya, jika ingin menonjolkan diri sebagai hero sambil menyalahkan pula orang lain termasuk pihak berwajib, maka itu tidak akan pernah baik untuk kita.

Oleh itu, fikirlah mendalam sebelum melakukan atau mengatakan sesuatu.

* Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.