61 dari Simpang Renggam positif Covid-19, PKPD dilaksana

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan memutuskan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid Simpang Renggam, Kluang, Johor selepas kawasan berkenaan mencatatkan 61 kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya berkata, perintah itu berkuatkuasa mulai tengah malam ini sehingga 9 April 2020.

"PKD ini melibatkan 3,570 orang penduduk tempatan yang terdiri daripada 650 keluarga," katanya.

Menurutnya, dengan pelaksanaan PKPD, semua penduduk tempatan dan pelawat yang berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh penguatkuasaan.

"Pelawat dan bukan penduduk tempatan tidak dibenar masuk ke kawasan tersebut dan semua aktiviti perniagaan dihentikan," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membekalkan makanan asas kepada semua penduduk tempatan.

"Bekalan makanan asas mencukupi untuk tempoh 14 hari," katanya.

Ismail Sabri berkata, bagi memastikan pematuhan perintah itu, polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam dan RELA akan mengawal seluruh kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua laluan pintu masuk kampung dan Bandar Baharu Dato' Ibrahim Majid ditutup. Pangkalan Perubatan akan dibuka di kawasan PKPD," katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihati untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

"Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434," katanya.

KKM telah mengesahkan terdapat 83 kes positif jangkitan Covid-19 di Daerah Kluang, Johor.

Daripada jumlah itu, sebanyak 61 kes adalah dari dua kawasan berkenaan.