66 jemaah tabligh pulang dari Indonesia disaring, dikuarantin

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memeriksa suhu badan lapan Jemaah Tabligh dari Makassar dan Jakarta yang tiba di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour hari ini diperiksa taraf kesihatan sebagai langkah mencegah penularan COVID-19. FOTO: BERNAMA

A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seramai 66 jemaah tabligh yang pulang menggunakan dua pintu masuk di negeri ini selepas menghadiri Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi, Indonesia wajib menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin selama 14 hari.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka tidak boleh terlepas daripada menjalani proses berkenaan sama ada keputusannya positif atau negatif koronavirus (Covid-19).

"Setakat ini seramai 36 jemaah tabligh yang menghadiri Ijtima Dunia 2020 Zon Asia sudah pulang melalui Terminal Feri Antarabangsa Stulang di Johor Bahru dan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbor di sini.

"Mereka pulang sejak 23 Mac sehingga hari ini. Terdapat 30 lagi jemaah tabligh yang dijangkakan tiba ke negeri ini dan kesemuanya akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk dibawa ke pusat kuarantin di negeri ini atau negeri masing-masing," katanya.

Pemeriksaan kesihatan dilakukan terhadap lapan jemaah tabligh yang pulang daripada menghadiri Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Indonesia sejurus tiba di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbor, Iskandar Puteri, Johor hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat tinjauan ketibaan lapan jemaah tabligh yang menghadiri Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di republik tersebut di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbor, di sini hari ini.

Menurut Ayob, jemaah tabligh berkenaan hanya mempunyai dua pilihan untuk pulang sekiranya menggunakan pintu masuk di negeri ini sama ada di Stulang ataupun di Puteri Harbor.

Katanya, semua mereka yang tiba dari kedua-dua terminal itu dipastikan melalui saringan dan tapisan kesihatan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Mengenai jemaah tabligh di negeri ini yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dan masih belum tampil untuk menjalani ujian saringan kesihatan, beliau berkata, hanya tinggal 12 individu masih belum berbuat demikian.

Katanya, untuk rekod terdapat seramai 1,716 jemaah tabligh di negeri ini dan daripada jumlah itu, 1,704 sudah menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Baki hanya 12 masih belum hadir. Secara keseluruhannya kita lihat memang sudah ada tahap kerjasama yang tinggi dalam kalangan jemaah tabligh ini. Jadi saya harap 12 orang ini akan tampil untuk buat saringan," katanya.