Sisa klinikal meningkat 17 peratus

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Sisa klinikal yang dihasilkan di fasiliti perubatan seluruh negara meningkat 17 peratus sepanjang tempoh pandemik koronavirus (Covid-19) sejak awal Februari lalu.

Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kesemua sisa klinikal itu akan diasingkan di klinik dan hospital sebelum dikutip serta dihantar menggunakan kenderaan khas ke 12 fasiliti insinerator untuk pelupusan.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar mempunyai satu sistem pengurusan sisa klinikal yang komprehensif sejak 2005 menerusi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Jumlah sisa klinikal ini meningkat 17 peratus berbanding purata bulanan dari pelbagai institusi yang menyediakan perkhidmatan kesihatan.

“Kementerian Alam Sekitar sentiasa berusaha demi kepentingan dan kesihatan awam khususnya semasa krisis pandemik Covid-19. Ketika ini terdapat tujuh syarikat yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengendalikan semua sisa klinikal bermula dari kutipan, pengangkutan, rawatan sehingga kepada pelupusan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, fasiliti perubatan kerajaan dikendalikan syarikat Radicare Sdn Bhd, Edgenta Mediserve Sdn Bhd, Medivest Sdn Bhd, Sedafiat Sdn Bhd, dan One Medicare Sdn Bhd di bawah Perkhidmatan Pengurusan Sisa Klinikal (CWMS).

Menurutnya, sisa klinikal hospital dan klinik swasta pula diuruskan oleh Kualiti Alam Sdn Bhd dan Future NRG Sdn Bhd.

"Kesemua kemudahan rawatan dan pelupusan oleh syarikat ini dilesenkan di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan tertakluk kepada syarat ketat di dalam jadual pematuhan lesen dalam tempoh pelesenan JAS.

Artikel Berkaitan:

“Pihak kementerian akan terus memantau syarikat tersebut termasuk melalui sistem atas talian iaitu Electronic Scheduled Waste Management System (eSWIS) bagi memastikan semua sisa klinikal diurus dengan sempurna," katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai bahawa pengendalian dan pelupusan haram buangan terjadual termasuk sisa klinikal tanpa lesen merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman penjara mandatori tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM500,000.