X

Kindly register in order to view this article
!

Empat kematian terbaharu, tiga daripadanya peserta tabligh

Dr Noor Hisham
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan empat kematian dengan tiga daripadanya merupakan jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian bagi kes ke-20, 21 dan 22 merupakan jemaah tabligh yang masing-masing meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan, Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dan Hospital Enchee, ' Besar Hajjah Khalsom, Johor.

Menurutnya, kes ke-20 merupakan kes ke-780 yang melibatkan lelaki berusia 76 tahun.

"Dia dirawat pada 18 Mac dan disahkan meninggal dunia 4.35 petang semalam," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini kes Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Beliau berkata, kes kematian ke-21 merupakan kes 1,588 positif Covid-19 yang berumur 63 tahun.

"Dia dirawat pada 23 Mac dan disahkan meninggal dunia jam 4 pagi tadi," katanya.

Katanya, bagi kes kematian ke-22 melibatkan kes 1,797 yang berumur 48 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik.

"Dia dirawat di Hospital Enchee' Besar Khalsom, Johor dan disahkan meninggal dunia jam 8.15 malam pada 23 Mac," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM sedang menyiasat kematian melibatkan kes ke-23 yang merupakan kes 1,840.

"Lelaki berkenaan berusia 62 tahun dan berasal dari Kajang, Selangor dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak pada 23 Mac.

"Dia disahkan meninggal dunia 12.37 tengah hari semalam," katanya.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kematian akibat wabak ini adalah sebanyak 23 kes.

"KKM juga telah merekodkan 16 kes yang telah pulih dan dibenar pulang menjadikan kes pulih sebanyak 215 kes," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham berkata, kesemua anggota kesihatan dan sokongan Hospital Teluk Intan diarahkan untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 di hospital tersebut berikutan 39 petugas kesihatannya disahkan positif wabak itu.

"Semua anggota kesihatan dan barisan hadapan dinasihati untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan," katanya.

Sementara itu, menurutnya, perkhidmatan kesihatan ibu hamil dan anak berjalan seperti biasa di fasiliti kesihatan kerajaan.

"Anggota kesihatan juga akan melaksanakan perkhidmatan lawatan ke rumah kepada ibu lepas bersalin untuk memastikan ibu dan anak dalam keadaan sihat.

"Ibu hamil diminta untuk menjalani pemeriksaan mengikut tarikh temu janji yang diberikan," katanya.

Katanya, perkhidmatan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak juga diteruskan seperti biasa.

"Ibu bapa diminta untuk mematuhi jadual imunisasi kanak-kanak dan tarikh temu janji yang telah ditetapkan bagi mencegah terjadinya kejadian wabak penyakit cegahan vaksin (vaccine preventable diseases)," katanya.