X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP beri jaminan barang keperluan mencukupi

Pelanggan sebuah pasaraya beratur sebelum dibenarkan masuk untuk membeli belah barangan keperluan harian secara berperingkat sebagai langkah bagi mengurangkan kesesakkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan di sebuah pasaraya hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi memberi jaminan bekalan barangan keperluan adalah mencukupi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Beliau berkata, kementeriannya bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk melakukan perjumpaan dengan pemain industri bekalan makanan dari semasa ke semasa agar orang ramai tidak melakukan pembelian panik susulan tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April ini.

"Saya dan Timbalan Menteri telah melakukan lawatan mengejut ke beberapa pasar raya dan (melakukan) tinjauan. Maklum balas daripada penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara mendapati stok bekalan keperluan mencukupi dan tiada kenaikan harga.

"Bagi memastikan bekalan barangan makanan terjamin dan tidak berlaku kenaikan harga, seramai 2,500 penguat kuasa KPDNHEP telah digerakkan di seluruh negara," katanya dalam Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) mengenai situasi semasa bekalan barang keperluan yang disiarkan oleh semua stesen televisyen di sini hari ini.

Beliau berkata, KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas jika terdapat peniaga yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Nanta turut mengingatkan semua peniaga termasuk penjualan menerusi dalam talian (e-dagang) supaya bersikap jujur, beretika dan tidak mengambil kesempatan dalam situasi ketika ini.

"Saya juga ingin memberi peringatan kepada peniaga, jangan sekali-kali menyorok barangan keperluan dengan tujuan untuk mengaut keuntungan. Jadilah pengguna bestari dan peniaga beretika.

"Saya faham kesukaran yang dihadapi pengguna ketika ini. Rancanglah perbelanjaan anda secara berhemat. Jangan membeli secara berlebihan," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus