Covid-19: Operasi nyahkuman di zon merah Sabtu ini

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi menyahkuman melibatkan kawasan-kawasan awam di zon merah wabak Covid-19 di ibu negara akan dijalankan pada Sabtu ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, operasi berskala besar bermula jam 9 pagi itu akan dimulakan berhampiran kawasan Masjid Jamek Sri Petaling serta di kawasan Parlimen Lembah Pantai, Seputeh dan Titiwangsa.

Beliau berkata, operasi itu bagi menghapuskan virus yang mungkin ada di tempat awam, dewan, masjid dan surau, lorong-lorong, jalan raya di ibu negara.

"Maka telah diputuskan, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk DBKL untuk menjalankan gerakan intensif dan besar-besaran buat program menyahkuman atau virus dalam bandar.

"Tumpuan awal adalah kawasan zon merah iaitu Lembah Pantai dan Titiwangsa. Dalam istilah pengawalan Covid-19 kawasan ialah berdasarkan pada persempadanan perkhidmatan kesihatan.

"Jadi ini akan melibatkan sekurang-kurangnya empat kawasan parlimen," katanya pada sidang video khas hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan menggerakkan segala aset dan kemudahan termasuk lori tangki untuk membuat semburan skala besar dan membersihkan kawasan-kawasan tertentu terutamanya kawasan tumpuan orang awam.

"Ini tentu memerlukan kepakaran. Biasanya kita buat fogging untuk aedes, kali ini bukan lagi fogging biasa. Kita perlu gunakan bahan yang sesuai dan berkesan dengan pelbagai kaedah.

Artikel Berkaitan:

"Sementara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kita akan susun petugas DBKL mungkin dengan bantuan bomba dan tentera termasuk pihak kontraktor penyelenggaraan," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya turut menggerakkan usaha menempatkan golongan gelandangan sekitar ibu negara di satu penempatan yang lebih terkawal dalam tempoh PKP.

Bagaimanapun katanya, operasi yang bermula malam tadi sedikit tergendala apabila dikhuatiri gelandangan yang dibawa akan memberi jangkitan lain kepada gelandangan sedia ada di penempatan dikenal pasti.

"Jadi kita perlu ubah suai (tempat) supaya lebih teratur dan selamat. Sekiranya bangunan sedia ada tidak mencukupi, kita akan guna kabin sementara agar golongan ini dapat diberi perhatian," katanya.

Mengulas mengenai isu penamatan khidmat Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) beliau menjelaskan, tindakan itu demi penstrukturan semula MPP agar lebih efisyen.

"Tidak lebih 14 hari, MPP akan berfungsi semula. Tindakan diambil kerana berdasarkan laporan yang saya terima, kira-kira separuh MPP didapati tidak aktif dan gagal menghantar laporan berdasarkan garis panduan ditetapkan.

"Walhal mereka ini diberi elaun dan peruntukan yang bukannya kecil," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 10 ahli Parlimen desak khidmat MPP tidak ditamatkan