X

Kindly register in order to view this article
!

JAIM minta bantuan polis jika jemaah ingkar

Gambar tular di aplikasi WhatsApp sebuah masjid di Gadek, Alor Gajah yang didakwa menunaikan solat jemaah dalam tempoh PKP.
A
A

MELAKA TENGAH - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) tidak teragak-agak mendapatkan bantuan polis jika masih ada kumpulan yang melaksanakan solat berjemaah di masjid.

Pengarahnya, Datuk Md Azhan Samat berkata, perbuatan itu bertentangan dengan garis panduan yang telah dikeluarkan JAIM yang hanya membenarkan tiga individu sahaja berjemaah di masjid iaitu imam, bilal dan noja.

Menurutnya, pada peringkat awal pelaksanaan PKP kira-kira enam masjid dan surau tidak mengendahkan arahan tersebut namun keadaan bertambah baik dari semasa ke semasa.

"Apa yang berlaku kini ialah kes terpencil dan JAIM terus melakukan pemantauan. Jika berlaku kes seumpama itu, mereka akan dinasihatkan solat di rumah sehingga tempoh PKP tamat," katanya.

"Saya mohon orang ramai mematuhi arahan ini dan laporkan kepada JAIM jika masih ada masjid dan surau yang ingkar," katanya.

Beberapa anggota polis membuat pemantauan di masjid tersebut.
Beberapa anggota polis membuat pemantauan di masjid tersebut.

Terdahulu tular gambar penduduk sedang menunaikan solat berjemaah di sebuah masjid dalam Dewan Undangan Negeri Gadek selain video yang memperlihatkan beberapa anggota polis di tempatkan di masjid itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden, Arshad Abu memaklumkan tiada tangkapan dilakukan setakat ini tetapi akan terus memantau masjid dan rumah ibadah lain

Dalam pada itu, Mufti negeri, Datuk Halim Tawil menggalakkan setiap masjid atau surau di negeri ini mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran menggunakan pembesar suara.

Menurutnya, ia bukan diadakan dalam tempoh berpanjangan namun digalakkan dilakukan setengah jam sebelum masuk waktu solat sekali gus mampu memperdengarkan ayat suci-al-Quran kepada penduduk setempat.

"Dalam keadaan PKP ini sekurang-kurangnya usaha ini dapat memberikan pahala kepada mereka yang mendengarnya selain dapat juga menyemak bacaan al-Quran-masing-masing.

"Saya juga menggalakkan PKP ini dimanfaatkan dengan melakukan aktiviti berfaedah bersama keluarga seperti solat berjemaah, mengaji, makan bersama dan sebagainya," katanya.

Sebelum ini tular video berdurasi 27 saat yang memaparkan Masjid Jamek Putra Masjid Tanah yang telah dimasyhurkan sebagai Masjid Al-Sultan Abdullah oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Mei tahun lalu memperdengarkan ayat suci al-Quran dan doa tolak wabak.