Mun Yee jalani latihan kecergasan di rumah

Mun Yee tetap melakukan latihan kecergasan di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikenakan sejak 18 Mac lalu. - Foto Instagram Leong Mun Yee
Mun Yee tetap melakukan latihan kecergasan di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikenakan sejak 18 Mac lalu. - Foto Instagram Leong Mun Yee
A
A
A

SHAH ALAM – Penerjun negara, Leong Mun Yee tetap meneruskan latihan di rumah bagi mengekalkan tahap kecergasannya walaupun tidak boleh melakukan latihan terjunan seperti biasa di kolam renang.

Beliau turut memuat naik video latihan kecergasan yang dilakukan dan menggunakan tanda pagar #dudukrumah berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Mun Yee mengakui dua minggu tanpa sebarang latihan di kolam boleh menjejaskan gaya terjunan, namun beliau sentiasa berdoa penularan Covid-19 dapat diatasi.

“Saya harap semua orang akan patuh pada arahan untuk duduk di rumah supaya penularan virus ini dapat diatasi secepat mungkin.

“Tiada apa yang boleh saya lakukan ketika ini selain melakukan latihan kecergasan dan yoga di rumah,” katanya menerusi entri Instagramnya.

Rata-rata pengikutnya memuji cara perenang negara itu menguatkan stamina walaupun ketika PKP dan ada yang menggunakan video itu sebagai panduan melakukan latihan di rumah.

Kata Crazybilly69, “Itu menunjukkan disiplin seorang atlet. Semoga berjaya dan teruskan semangat itu."

“Terbaik, kita orang guna video-video @leong_munyee upload sebagai contoh untuk pelumba-pelumba motosikal Perak buat latihan dalam rumah. Terima kasih. Nak buat latihan di trek tak boleh, perlumbaan pula kena tunda,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mun Yee turut memberikan penghargaan kepada barisan hadapan, kakitangan kesihatan dan anggota keselamatan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ketika ini.

“Seikhlas hati saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ‘frontliners’ dan petugas kesihatan yang sedang bertungkus-lumus memberikan rawatan di hospital akibat Covid-19.

“Tidak lupa juga kepada anggota keselamatan yang menjaga keselamatan negara sepanjang PKP ketika ini,” katanya.