Ibu tunggal rayu sumbangan anak derita leukemia

Pengasas Cancers Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal (kanan) menyampaikan bantuan keperluan makanan kepada Muhammad Hilmi Daniel Muhammad Syaifulhaznie, 12, yang disahkan menghidap kanser darah (leukemia) sejak Ogos lalu sempena ziarah Projek Jariah CSM di rumahnya di Kampung Pinang, Mukim Pedu, hari ini. - Foto Bernama
Pengasas Cancers Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal (kanan) menyampaikan bantuan keperluan makanan kepada Muhammad Hilmi Daniel Muhammad Syaifulhaznie, 12, yang disahkan menghidap kanser darah (leukemia) sejak Ogos lalu sempena ziarah Projek Jariah CSM di rumahnya di Kampung Pinang, Mukim Pedu, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PADANG TERAP- Seorang ibu tunggal merayu sumbangan orang ramai bagi meringankan beban yang ditanggung selepas anak sulung daripada dua beradik disahkan menghidap penyakit leukemia sejak Ogos lepas.

Wan Rosna Wan Abdul Mutalib, 33, berkata sejak itu beliau tidak lagi boleh bekerja sebagai pembantu kedai makan, bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada Muhammad Hilmi Daniel Muhammad Syaifulhaznie, 12, dan seorang lagi anak lelaki berusia 6 tahun.

Katanya Muhammad Hilmi Daniel dikesan menghidap leukemia selepas kedua-dua belah pipi membengkak sebelum mengalami demam berpanjangan hingga terpaksa menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam keadaan tidak bermaya.

"Masa itu saya tak tahu lagi penyakit dia (Muhammad Hilmi Daniel) dan dia gagahkan diri untuk masuk periksa walaupun tidak sihat hingga tamat UPSR, selepas itu saya bawa dia ke Hospital Kuala Nerang (HKN) dan tidak bersekolah hingga kini.

"Bagaimanapun, anak saya itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dekat Alor Setar dan masuk wad selama sebulan, selepas sampel air tulang belakang (sum-sum) diambil, doktor sahkan dia menghidap leukemia," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Pinang, Mukim Pedu di sini hari ini.

Wan Rosna berkata sebelum ini, beliau bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sebanyak RM30 sehari selepas berpisah dengan suami sejak empat tahun lalu.

“Setakat ini, Muhammad Hilmi Daniel telah menjalani rawatan kimoterapi dan apa yang membingungkan saya apabila dia sekali lagi akan menjalani rawatan itu pada 12 Disember ini, sedangkan saya tiada duit untuk membawanya ke hospital, sewa rumah juga kena bayar RM200 sebulan,” katanya.

Justeru, beliau berharap orang ramai dapat membantu menyumbang bagi meringankan beban termasuk menyewa teksi untuk berulang-alik ke HSB serta perbelanjaan di hospital nanti.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, nasib yang menimpa Muhammad Hilmi Daniel mendapat simpati daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Pengasas Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal yang mengadakan ziarah kasih sambil menghulurkan bantuan barangan keperluan makanan dan wang tunai.

“Kita harap Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ambil perhatian masalah keluarga ini dan menyediakan bantuan bulanan bagi meringankan beban yang ditanggung kerana beliau tidak lagi boleh bekerja untuk menjaga anaknya yang sakit itu dan seorang lagi yang akan ke darjah satu pada sesi persekolahan akan datang,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya menerusi akaun Agro Bank 2005061000181330 atas nama Muhammad Hilmi Daniel atau menghubunginya di talian 019-3695542.- Bernama.