Tujuh orang awam ditahan langgar arahan PKP

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis menahan tujuh lelaki yang menghalang penjawat awam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dua lokasi berasingan di Pekan Bestari Jaya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, kejadian pertama berlaku pada jam 10.35 malam ketika pasukan polis membuat rondaan Ops Covid-19 di Pekan Bestari Jaya.

Menurutnya, tiga lelaki berusia lingkungan 28 hingga 32 tahun didapati berdegil apabila tidak mahu beredar dan ingkar arahan polis.

Beliau berkata, kejadian kedua pula membabitkan penahanan empat lelaki yang menaiki dua motosikal dan mencetuskan provokasi kepada pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bertugas berhampiran sebuah kedai serbaneka.

Katanya, keempat-empat lelaki berusia lingkungan 28 hingga 35 tahun itu berdegil dengan arahan terbabit dan seorang daripada mereka dipercayai menendang tong sampah di hadapan kedai berkenaan.

"Polis menerima panggilan telefon daripada pegawai Rela yang memaklumkan terdapat empat lelaki tidak mengendahkan arahan meninggalkan kedai serbaneka terbabit yang ditutup," katanya.

Menurut Ramli, kesemua yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Bestari Jaya untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan PPPB (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Artikel Berkaitan: