X

Kindly register in order to view this article
!

Talian Covid-19 terima 111 aduan termasuk penggiat seni

Nancy Shukri
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 111 aduan termasuk daripada penggiat seni diterima Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Call Center Covid-19 sejak ia mula beroperasi pada 19 Mac lepas.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 38 peratus aduan yang diterima kurang berkaitan dengan bidang kuasa kementerian namun mempunyai asas penting keselamatan seperti imigresen, pengangkutan dan isu Covid-19.

“Ada juga penggiat seni termasuk persatuan artis serta 'buskers' (penghibur jalanan) yang menghubungi Call Centre Covid-19 untuk mendapatkan maklumat berkaitan manfaat daripada Pakej Rangsangan Ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sektor perhotelan menerima aduan tertinggi iaitu sebanyak 40 aduan bersamaan 36 peratus manakala aduan mengenai urusan pelesenan pelancongan dan syarikat-syarikat pelancongan masing-masing merekodkan 12 aduan atau 11 peratus.

Aduan berkaitan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan isu melibatkan industri seni dan budaya masing-masing merekodkan tiga aduan atau dua peratus.

Nancy berkata, semua aduan itu dibawa kepada pengurusan tertinggi MOTAC dan seterusnya kepada Kabinet untuk membantu penggiat industri yang terjejas manakala aduan yang bukan di bawah kuasa kementerian akan dipanjangkan kepada kementerian berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Call Centre Covid-19 itu beroperasi dari 8 pagi hingga 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan orang ramai boleh menghubungi talian 03-88917189 atau emel [email protected] bagi menyalurkan aduan.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan industri pelancongan dan kebudayaan menerusi soalan-soalan Lazim (FAQ) di laman rasmi MOTAC, www.motac.gov.my. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus