Tiga pengunjung pusat hiburan ditahan ugut polis

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli
A
A
A

KLANG - Tiga pengunjung pusat hiburan ditahan kerana melakukan provokasi dan ugutan jenayah terhadap anggota polis dalam Ops Covid-19 di sebuah pusat hiburan di Bandar Botanik di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira jam 2 pagi, turut ditahan seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai penjaga pusat hiburan terbabit.

"Hasil pemeriksaan dalam pusat hiburan itu mendapati terdapat tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 45 tahun sedang berhibur.

"Semasa menerangkan mengenai kesalahan iaitu melanggar PKP 2020, tiga lelaki itu tidak mengendahkannya dan membuat provokasi serta ugutan jenayah terhadap pegawai polis terbabit," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Shamsul Amar berkata, pihaknya juga telah merampas peralatan audio serta 15 botol minuman keras selain tindakan sitaan ke atas premis terbabit.

"Antara kesalahan lain yang dikesan adalah premis itu menjual minuman keras dan beroperasi tanpa lesen.

"Malah premis itu juga dikesan beroperasi secara 'sorok-sorok' apabila hanya membuka pintu belakang sahaja dan menutup pintu depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shamsul Amar berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 7(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.