LZS kecewa ada pemohon cuba ambil kesempatan

LZS kecewa terdapat pihak cuba ambil kesempatan dalam agihan khas kepada golongan yang layak.
LZS kecewa terdapat pihak cuba ambil kesempatan dalam agihan khas kepada golongan yang layak.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas pelaksanaan inisiatif Bantuan Khas Covid-19 (BKC19).

Menerusi kemas kini di laman Facebook rasminya, LZS berkata, pihaknya merayu agar setiap pemohon mematuhi terma dan syarat dinyatakan dalam permohonan tersebut supaya pengagihan BKC19 dapat dilakukan dengan adil.

LZS berkata, langkah itu juga bagi menggelakkan peningkatan trafik server yang tinggi sehingga menyebabkan kelewatan proses saringan.

"Kami sedang berusaha untuk mengagihkan dana yang diperuntukkan sebaik mungkin untuk mereka yang benar-benar terkesan sehingga mengakibatkan kesempitan dalam meneruskan kehidupan terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Menerusi kemas kini itu, LZS turut berkongsi pengalaman salah seorang panel penilai BKC19 yang terpaksa berdepan kesulitan selepas begitu banyak permohonan diterima walaupun ada di antaranya tidak layak.

Permohonan BKC19 mula dibuka semalam selepas LZS mengumumkan peruntukan RM15 juta sebagai bantuan segera bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan berikutan pelaksanaan PKP.

Sejak permohonan dibuka, portal LZS dikatakan mengalami masalah sistem berikutan menerima terlalu ramai pengunjung.

Mengulas lanjut, LZS berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengagihkan dana yang diperuntukkan itu dengan sebaik mungkin bagi kegunaan mereka yang benar-benar terkesan.

Artikel Berkaitan:

"Kami cuba menggunakan kaedah yang tidak bercanggah dengan larangan semasa PKP.

"Kaedah siasatan yang digunakan juga telah disingkatkan untuk menilai ketulenan permohonan. Segalanya terhad termasuk pergerakan para amil melakukan siasatan," katanya.