Berdosa ingkar arahan PKP, kata mufti

Harussani
Harussani
A
A
A

IPOH - Mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang ditetapkan kerajaan merupakan dosa dan pelakunya boleh dikatakan melakukan maksiat.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang mengorbankan nyawa membawa kepada pengisytiharan PKP bermula 18 Mac lalu sehingga 14 April bagi mengelak jangkitan berterusan.

Menurutnya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan solat Jumaat dan solat fardu tidak dilaksanakan di masjid buat sementara waktu dan hanya tiga pegawai masjid dibenarkan berjemaah sebagai memelihara syiar Islam.

"Bagaimanapun masih ada masyarakat Islam di negeri ini masih meneruskan solat berjemaah di masjid, surau diri Jumaat dan surau tanpa menghiraukan arahan pihak berkuasa.

"Saya menegaskan bahawa keingkaran secara sedar dan sengaja terhadap arahan pemerintah merupakan satu dosa malah pelakunya dikira melakukan maksiat berdasarkan firman ALLAH SWT dalam Surah An-Nisa ayat 59," katanya menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik menerusi Facebook Jabatan Mufti Perak, semalam.

Harussani berkata, tindakan melaksanakan solat fardu berjemaah di masjid dan surau atas sangkaan meraih pahala berganda tanpa menghiraukan arahan pihak berkuasa merupakan tindakan yang jelas bertentangan dengan syarak.

Menurutnya, pihak berkuasa berhak memutuskan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemaslahatan dan kebaikan umat walaupun bertentangan dengan dengan kehendak peribadi.

Jelas beliau, suasana tidak kondusif yang menghalang umat Islam melaksanakan solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau kerana musibah diklasifikasikan sebagai keuzuran syarie.

Artikel Berkaitan:

Menurut Harussani, sebarang persoalan mengenai pahala dan fadilat perlu diserahkan kepada ALLAH SWT yang memberikan setiap ganjaran untuk amal kebaikan dilakukan oleh manusia.